ESG dijangka terus pengaruhi harga saham syarikat perladangan di Malaysia | DagangNews Skip to main content

ESG dijangka terus pengaruhi harga saham syarikat perladangan di Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - AmInvestment Bank Research percaya kebimbangan terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan menjejaskan harga saham syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri minyak sawit di Malaysia.

 

Firma itu bagaimanapun, mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan berikutan prestasinya yang cemerlang pada suku kedua 2021. 

 

Penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, ia turut menjangkakan terdapat lebih banyak penurunan berbanding kenaikan terhadap harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM4,500 satu tan metrik. 

 

Katanya, jika dilihat pada suku kedua, harga purata MSM direalisasikan di Indonesia adalah lebih tinggi berbanding suku pertama.

 

"Purata harga MSM direalisasikan bagi TSH Resources Bhd. ialah RM3,441 satu tan metrik berbanding RM3,010 pada suku pertama dengan lebih 90% pengeluaran buah tandan segar adalah dari Indonesia.

 

"Bagi Sime Darby Plantation Bhd. pula, purata harga direalisasikan di Indonesia ialah RM3,109 satu tan metrik pada suku kedua berbanding RM2,886 pada suku pertama. 

 

"Di Malaysia, harga purata spot MSM yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ialah RM4,208 satu tan metrik pada suku kedua berbanding suku pertama, RM3,895 satu tan metrik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut Huey Ling, pada suku ketiga, harga direalisasikan bagi syarikat perladangan di Indonesia akan meningkat memandangkan cukai eksport dan levi dikurangkan pada Julai dan Ogos. 

 

Cukai eksport dan levi apda Julai berjumlah AS$291 satu tan metrik manakala Ogos, AS$268 satu tan metrik berbanding AS$438 satu tan metrik pada Jun. 

 

Bagaimanapun, pada September, Indonesia menaikkan cukai eksport kepada AS$166 satu tan metrik tetapi mengekalkan levi eksport pada AS$175 satu tan metrik.

 

Secara keseluruhan, bagi prestasi suku kedua 2021, beliau berkata, hampir semua syarikat perladangan di bawah liputannya melepasi unjuran pendapatan dan konsensus yang dibuat firma tersebut. 

 

"Kecuali IOI Corporation Bhd., yang memenuhi unjuran kami tetapi bukan unjuran konsensus apabila margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pengeluarannya terjejas," katanya.

 

Berbanding semua syarikat perladangan di bawah liputannya, AmInvestment hanya meletakkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby Plantation dengan nilai saksama pada RM4.88 sesaham. 

 

Ia sebaliknya meletakkan saranan 'pegang' ke atas IOI Corp, TSH Resources dan Genting Plantations Bhd. manakala 'jual' bagi saham FGV Holdings Bhd. - DagangNews.com