Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Prestasi eksport Malaysia kekal mencatatkan pertumbuhan positif selama dua bulan berturut-turut dengan peningkatan 3.1% kepada RM92.5 bilion pada Julai 2020.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi tersebut merupakan nilai eksport kedua tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Oktober 2018 dengan jumlah RM97.1 bilion.
"Eksport semula bernilai RM20.8 bilion meningkat 15.6% tahun ke tahun sekali gus menyumbang 22.5% kepada jumlah eksport.
"Sementara itu, eksport domestik menurun 0.1% kepada Rm71.7 bilion," katanya dalam satu kenyataan berkaitan statistik import dan eksport mengikut produk dan rakan dagangan, Perangkaan Perdagangan Luar Negeri untuk Julai 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Tambah beliau lagi, jumlah import yang bernilai RM67.4 bilion menurun 8.7% tahun ke tahun.
Prestasi tersebut menghasilkan lebihan dagangan berjumlah RM25.1 bilion yang meningkat 57.5% berbanding Julai 2019.
Jumlah lebihan tersebut adalah lebihan perdagangan terbesar yang pernah dicatatkan hingga kini.
Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM159.9 bilion, menurun 2.2% berbanding bulan sama tahun lalu.
Mengikut laporan DOSM, peningkatan dalam jumlah eksport negara adalah disebabkan oleh peningkatan eksport ke Amerika Syarikat (AS) (+RM2.5 bilion) dan China (+RM1.9 bilion).
Bagaimanapun, prestasi eksport ke Emeriah Arab Bersatu menurun sebanyak RM467.2 juta
Manakala jumlah import yang lebih rendah terutamanya daripada Republik Korea (-RM1.4 bilion), China (-RM1.4 bilion), Kesatuan Eropah (-RM1.2 bilion) dan Australia (-RM1.0 bilion).
Bagaimanapon, prestasi import dari India meningkat sebanyak RM889.7 juta.
Jelas beliau lagi, produk barangan elektrik dan elektronik menjadi penyumbang utama sebanyak (+RM3.3 bilion) disusuli keluaran getah (+RM1.9 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.6 bilion).
Sementara itu, untuk penurunan import dicatatkan melalui produk kelengkapan pengangkutan (-RM1.5 bilion), kimia dan bahan kimia (-RM1.4 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (-RM1.1 bilion) dan petroleum mentah (-RM1.1 bilion).
"Penurunan dalam import mengikut pengguna akhir disumbangkan oleh barangan perantaraan dan barangan modal dengan jumlah penurunan sebanyak 17.3% atau RM6.7 bilion kepada RM32.2 bilion.
"Barangan modal menurun 19.7% atau RM1.7 bilion kepada RM6.7 bilion sementara import barangan pengguna naik 0.1% kepada RM6.4 bilion," tambahnya. - DagangNews.com