Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Jan - Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) menawarkan warna baharu untuk model SUV popular, Nissan X-Trail 2.0L Mid dan juga Nissan Serena S-Hybrid sempena sambutan tahun baharu.
Warna baharu untuk model keluaran 2022 itu adalah Monarch Orange untuk varian Nissan X-Trail 2.0 Mid dan warna Radiant Red untuk model Nissan Serena 2.0L S-Hybrid Premium Highway Star.
ETCM memaklumkan, selain itu, bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina pula, ETCM turut melanjutkan kempen kadar faedah 1.88 peratus untuk model Nissan terpilih sah sehingga 28 Februari ini.
"Para pelanggan yang membeli dan mendaftarkan kereta Nissan baharu berpeluang untuk membawa pulang baucar Lazada bernilai sehingga RM50,000," menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, pelanggan yang memandu uji sebuah Nissan Almera Turbo sepanjang tempoh kempen berlangsung, berpeluang untuk memenangi baucer Watsons bernilai RM500.
Nissan X-Trail 2.0L Mid dilengkapi dengan teknologi pemanduan dinamik Nissan Intelligent Mobility (NIM).
SUV itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti amaran perlanggaran ke hadapan pintar dengan brek kecemasan ke hadapan pintar, kawalan pelayaran pintar, amaran berlepas lorong, amaran titik buta, amaran trafik palang belakang dan bantuan pancaran tinggi.
Model Nissan Serena 2.0L S-Hybrid Premium Highway Star pula menawarkan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2 km/L (NEDC R101) dan didatangkan dengan ciri-ciri inovatif seperti dwi pintu gelangsar kuasa bebas tangan dan dwi pintu belakang.
Kenderaan itu turut dilengkapi kemudahan tujuh port USB, Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Intelligent Moving Object Detection (I-MOD) dan sambungan telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Sebarang maklumat lanjut, boleh melayari laman web www.nissan.com.my. - DagangNews.com