Eupe Corp beli dua tanah RM40.68 juta bagi projek pembangunan bercampur di Kedah | DagangNews Skip to main content

Eupe Corp beli dua tanah RM40.68 juta bagi projek pembangunan bercampur di Kedah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Eupe Corp Berhad menerusi anak syarikatnya, Eupe Land Development Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli ketiga (SPA ketiga) dengan Sing Ta Nian Development Sdn Bhd untuk membeli dua tanah bernilai RM40.68 juta di Kuala Muda, Kedah.

 

Syarikat hartanah itu berkata SPA tersebut melibatkan pengambilalihan dua petak tanah pegangan bebas berkeluasan kira-kira 22 hektar atau 221,238 meter persegi yang terletak di Bandar Sungai Petani dan akan digunakan untuk projek pembangunan bercampur

 

Terdahulu, Eupe Land Development pada 21 Januari 2022 telah memeterai perjanjian usaha sama (JVA) dengan Sing Ta Nian, yang perlu memindahkan tanah kepada Eupe Land Development bebas daripada semua bebanan dan dengan pemilikan kosong dalam tanah-tanah tersebut.

 

Pengambilalihan ini merupakan pemindahan tanah ketiga dan keempat selepas SPA pertama dimeterai bagi tanah bernilai RM40 juta pada 21 Januari 2022 dan SPA kedua untuk tanah RM15.3 juta pada 24 November 2022.

 

“Cadangan pengambilalihan memberi peluang pelaburan kepada kumpulan untuk menambah dan meningkatkan keluasan tanah bersebelahan dengan tanah pertama dan kedua yang akan dibangunkan menjadi perbandaran yang mengintegrasikan kemudahan kediaman, komersial dan komuniti serta rumah.

 

“Ini adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperoleh bank tanah strategik secara berterusan dan mengukuhkan lagi kehadiran dan rancangan pembangunan projek di wilayah utara,” kata Eupe Corp dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan itu menambah bahawa cadangan pembangunan bagi tanah ketiga dan keempat menurut pengaturan usaha sama dijangka menyumbang secara positif kepada aliran hasil dan keuntungan masa hadapannya.

 

“Berdasarkan perkara di atas, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa cadangan pengambilalihan menyediakan peluang untuk penggunaan cekap sumber kewangan sedia ada kumpulan bagi mencapai pulangan lebih baik kepada pemegang saham dalam jangka masa panjang,” tambahnya.

 

Pertimbangan tunai RM40.68 juta yang dibuat atas dasar ‘pembeli sanggup penjual rela’ itu akan dibiayai dengan gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

Saham Eupe ditutup tinggi pada 86 sen hari ini, menokok 0.5 sen atau 0.6% dan memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM110.1 juta. - DagangNews.com