KUALA LUMPUR 13 Sept - Kenderaan elektrik (EV) nasional pertama, Proton e.MAS 7 mencatatkan prestasi yang cukup menyerlah dalam sesi ujian jalan raya Malaysia yang melibatkan pelbagai peringkat ujian.
Menurut PRO-NET, fasa ujian intensif ini melibatkan enam unit Proton e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelosok di Semenanjung Malaysia.
"Fasa terperinci ini penting dalam memastikan kenderaan memenuhi keperluan persekitaran yang khusus di Malaysia dan mengesahkan ketahanan serta kesesuaiannya dengan permintaan pasaran tempatan.
"Ujian lasak ini merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT) serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, kata PRO-NET, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.
Tambahnya, sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.
"Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.
"Sistem ADAS pula telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat beli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat," jelas pengedar Proton eMas itu,
Menurut PRO-NET, jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.
Katanya, usaha sama antara PROTON dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.
Tambah anak syarikat Proton itu, ujian ketahanan kenderaan termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, PRO-NET akan memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.
"Jurutera kami telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan Proton e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.
"Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan - di mana hasil ujian Proton e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400mm bagi menangani situasi banjir.
"Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan," ujarnya. - DagangNews.com