Everpeaks® raih dana lebih RM1 juta, lebarkan sayap ke peringkat global | DagangNews Skip to main content

Everpeaks® raih dana lebih RM1 juta, lebarkan sayap ke peringkat global

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Syarikat pembekal saluran omni  e-perdagangan, Everpeaks® berjaya mengumpul pembiayaan sebanyak RM1,441,000 menerusi platform pendanaan awam ekuiti, pitchIN.

Dana itu berjaya menarik 48 pelabur dengan jumlah ekuiti sebanyak 25.17% dengan nilai pelaburan individu tertinggi berjumlah RM1 juta. 

Menerusi dana berkenaan, Everpeaks® berhasrat membawa masuk jenama dari  Amerika Syarikat (AS) dan Eropah ke Asia Tenggara dengan Malaysia sebagai hab pengagihan produk tersebut. 

 

Joachim Sebastian
Joachim Sebastian

 

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Everpeaks®, Joachim Sebastian berkata, syarikat di seluruh dunia berdepan dengan perubahan besar semasa dan selepas COVID-19. 

Jelasnya, virus pandemik itu telah mengubah trend masyarakat, tingkah laku pengguna dan pola penggunaan, sekali gus melonjakkan permintaan dalam talian. 

Baca : Everpeaks® raising RM1.6 million to spread wings over ASEAN

“Perubahan dalam tingkah laku pengguna dan pembekal membuka peluang baharu dalam pasaran ‘manufacturer-to-consumer’ (M2C) sekaligus memberi peluang kepada Everpeaks® untuk menambah baik model bisnes kami, Fulfilment By Everpeaks® (FBE).

“Ini adalah visi kami untuk mengangkat perdagangan M2C ke peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Everpeaks® bertindak sebagai penggerak kepada keterhubungan perdagangan M2C di rantau Asia Tenggara melalui Zon Perdagangan Bebas (FTZ), menggunakan platformnya. 

Mengikut perancangan, Everpeaks® akan memperuntukkan 40% daripada dana berkenaan bagi pembangunan syarikatnya untuk menyertai pameran di seluruh dunia, iaitu usaha mengukuhkan kewujudannya di peringkat global. 

30% pula akan digunakan untuk membangunkan serta menambah baik teknologi mereka dengan 20% daripadanya digunakan bagi pertumbuhan tenaga kerja manusia. - DagangNews.com