Eversendai bida tender bernilai RM15 bilion bagi projek struktur keluli di Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

Eversendai bida tender bernilai RM15 bilion bagi projek struktur keluli di Arab Saudi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Eversendai Corp Berhad telah mengemukakan tender aktif bernilai lebih RM15 bilion bagi projek struktur keluli di Arab Saudi yang sangat kompleks, bersesuaian dengan keupayaan teknikal mereka.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek yang sedang dalam perancangan itu apabila diperoleh akan menyumbang secara positif kepada mereka.

 

Eversendai berkata ia mempunyai 27 tahun pengalaman di negara teluk dan 24 tahun di Arab Saudi.

 

"Kumpulan itu sudah melaksanakan pelbagai projek struktur yang sangat kompleks dengan reka bentuk sambungan, kejuruteraan, fabrikasi dan pemasangan projek berprofil tinggi menggunakan metodologi pendirian yang inovatif untuk menyiapkan projek," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, mereka mempunyai kapasiti fabrikasi tahunan 200,000 tan di Malaysia, Singapura, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

 

Katanya, kini mereka sedang dalam proses menubuhkan kilang kapasiti fabrikasi tahunan 60,000 tan berhampiran Riyadh, Arab Saudi.

 

Disebabkan projek berskala besar yang akan datang di Arab Saudi selain usaha mendapatkan lebih banyak projek mega, Eversendai telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Algihaz Holding Construction, sebuah firma yang ditubuhkan di Arab Saudi, untuk membentuk gabungan baharu. - DagangNews.com