Eversendai raih projek struktur keluli bernilai RM188 juta di Arab Saudi, India | DagangNews Skip to main content

Eversendai raih projek struktur keluli bernilai RM188 juta di Arab Saudi, India

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Eversendai Corporation Berhad berjaya memperoleh projek bernilai RM188 juta melibatkan kerja struktur keluli di Arab Saudi dan India.

 

Kumpulan itu bagaimanapun tidak mendedahkan pihak yang menganugerahkan kerja-kerja itu kepada mereka.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri AK Nathan berkata, pihaknya sedang dalam proses memuktamadkan rakan kongsi tempatan bagi menerajui pengembangan dan pertumbuhan Eversendai di Arab Saudi.

 

"Kami juga dalam proses untuk menubuhkan sebuah kilang dengan kapasiti fabrikasi tahunan sebanyak 60,000 tan berhampiran Riyadh bagi menyokong keperluan struktur keluli yang besar," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, mereka optimis dan telah meningkatkan usaha untuk mendapatkan lebih banyak projek pada masa hadapan.

 

"Projek keluli berstruktur ini sangat kompleks, sesuai dengan keupayaan teknikal Eversendai dan rekod prestasi dalam melaksanakan projek di 18 negara, sambil mematuhi keselamatan, kualiti dan penyiapan tepat pada masanya," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, pasaran pembinaan Arab Saudi menunjukkan pertumbuhan besar pada 2023 dan seterusnya dengan projek yang lumayan berdasarkan ekonomi yang berkembang maju selaras dengan cita-cita tinggi negara.

 

"Kepelbagaian ekonomi Arab Saudi adalah penting untuk kemampanannya selaras dengan "Wawasan Saudi 2030", visi Putera Mahkota Saudi dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman," katanya. - DagangNews.com