Evolusi AirAsia daripada syarikat penerbangan kepada syarikat berteraskan teknologi digital | DagangNews Skip to main content

Evolusi AirAsia daripada syarikat penerbangan kepada syarikat berteraskan teknologi digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Syarikat penerbangan AirAsia bukan sahaja berjaya menjadi syarikat penerbangan tambah rendah serantau malah berjaya menjadi sebuah syarikat berteraskan teknologi digital yang memberi fokus kepada e-dagang, logistik dan teknologi kewangan selain turut menerima pengiktirafan sebagai antara tiga syarikat Unikorn ASEAN.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya turut melancarkan airasia Super App bagi memanfaatkan masa henti penerbangan ketika bermulanya pandemik COVID-19 tahun lalu bagi mengalihkan tumpuan daripada sebuah syarikat penerbangan kepada syarikat digital dengan hampir 20 produk dan perkhidmatan disediakan. 

 

Beliau berkata, mereka menyedia perkhidmatan logistik yang dikenali sebagai Teleport, sebuah penyedia perkidmatan berteknologi serantau merangkumi pengangkutan, penghantaran dan e-dagang dengan keupayaan penghantaran merentas sempadan dalam masa 24 jam.

 

Katanya, syarikat itu juga memulakan operasi bank digital yang dikenali sebagai Big Pay yang menwarkan penyelesaian teknologi kewangan yang menyeluruh merangkumi penyelesaian pembayaran, perkhidmatan kiriman wang dan pinjaman.

 

"Saya berharap sepanjang perjalanan ini, kami akan terus mengubah industri ini. Walaupun kami masih berada dalam industri penerbangan, tetapi kami menawarkan lebih banyak perkhidmatan.

 

"Dalam masa 20 tahun lagi, kami akan menjadi lebih daripada syarikat penerbangan. Kami tidak akan berhenti melakukan perubahan," katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan sambutan ke-20 penubuhan syarikat itu.

 

airasia

 

Tony berkata, selama dua dekad ini, pihaknya tidak berhenti memasang impian termasuk mendemokrasikan perjalanan udara dengan tawaran harga bermula RM1 selain merealisasikan impian orang ramai untuk merasai pengalaman penerbangan buat kali pertama selain menjadi menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang tidak menggunakan tiket pada 2002.

 

Beliau berkata, mereka juga merupakan syarikat penerbangan pertama di dunia menawarkan sistem tempahan menyeluruh melalui peranti muda alih pada 2005.

 

"Pada 2009 kami mencipta rekod dunia baharu apabila melancarkan kempen 1 Juta Tempat Duduk Percuma yang menyaksikan 402,222 tempat duduk terjual dalam masa 24 jam. 

 

"Kempen Tempat Duduk Percuma ini sejajar dengan jenama dan pendirian kami iaitu kini sesiapa pun boleh terbang.

 

"Kami adalah satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah di dunia yang dianugerahkan anugerah terbaik di dunia selama 12 tahun berturut-turut bermula dari 2009 hingga 2021, di samping pelbagai anugerah global lain," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group, Datuk Kamarudin Meranun berkata, syarikat itu telah berdepan pelbagai cabaran sejak awal penubuhannya termasuk memindahkan operasi dari beberapa lapangan terbang berbeza sepeti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

 

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil masa beberapa tahun untuk mendapatkan kelulusan laluan ke Singapura selain menghadapi krisis kewangan di Asia dan dunia serta pandemik COVID-19.

 

"Apa yang pasti, kami sentiasa bangkit. Satu perkara yang saya pelajari adalah kita harus bersabar, ia adalah satu nilai yang harus kita semua miliki kerana kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku sebaliknya sentiasa melihat ke hadapan. Kepada para Allstars (kakitangan) percayalah bahawa kita akan kembali lebih kuat, terima kasih atas sokongan berterusan anda," katanya.

 

Untuk lebih banyak kisah menarik, tontoni siri Never Stop yang akan bermula pada Januari 2022, menampilkan Allstars kami yang berkongsi pengalaman mereka selama ini dan keterujaan untuk masa depan airasia. - DagangNews.com