Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pembekal teknologi eDagang dan digital, Exabytes memeterai perjanjian usaha sama dengan Open DC bagi menubuhkan Open DC Penang Sdn. Bhd (ODCP) yang akan memiliki dan mengendalikan pusat data kendalian Exabytes di Suntech Cybercity Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Exabytes, Chan Kee Siak berkata, perkongsian strategik bersama Open DC akan melonjakkan Pulau Pinang sebagai sebuah hab pusat data yang berpotensi untuk menyokong perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta perbadanan multinasional (MNC) di Malaysia, menjadikannya sebuah hab Internet ulung.
"Kami berhasrat untuk merancakkan Ekosistem Awan & Pusat Data di Pulau Pinang & wilayah utara Semenanjung Malaysia. Pada masa sama, kami mahu membantu perniagaan-perniagaan di Pulau Pinang bersedia untuk menempuhi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang sejajar dengan pelan digital utama kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kerjasama tersebut juga akan menyumbang kepada pengukuhan infrastruktur pusat data sedia ada di samping mengembangkan perkhidmatan dan produk-produk baharu yang akan tersedia untuk ekosistem Internet tempatan.
Ujarnya, langkah ini sekaligus akan melengkapi hala tuju pembangunan digital kerajaan Persekutuan dan negeri dalam aspek infrastruktur digital.
"Pusat data ini juga akan menawarkan ketersambungan Internet setempat dengan lokasi yang lebih mudah dicapai dan selesa untuk klien-klien perniagaan di Pulau Pinang," tambahnya.
Sementara itu Pengarah Urusan Open DC, Weng Yew Wong berkata, usaha sama ini akan menjadi satu inisiatif permulaan kepada pembangunan pusat data di wilayah utara pada masa depan dan terus merancakkan inisiatif Transformasi Digital di Pulau Pinang.
"Sebagai pengendali JB1 dan JB2 - hab telekomunikasi terbaik di selatan Malaysia, Open DC berasa amat teruja untuk bekerjasama dengan Exabytes bagi memajukan pembangunan hab-hab digital di Pulau Pinang.
"Pasukan kami berpengalaman dalam membangunkan konsep dan mengendalikan kemudahan pusat data berkualiti tinggi dan pada masa sama memperbaiki kelajuan Internet Malaysia," katanya.
Beliau berkata, usaha sama itu akan menjadi satu inisiatif permulaan kepada pembangunan pusat data di wilayah utara pada masa depan dan terus merancakkan inisiatif Transformasi Digital di Pulau Pinang. -DagangNews.com