Facebook naik taraf sistem perhubungan bersama Instagram, Messenger & WhatsApp | DagangNews Skip to main content

Facebook naik taraf sistem perhubungan bersama Instagram, Messenger & WhatsApp

Facebook

NEW YORK 1 Okt. - Facebook mengambil pendekatan lebih meluas untuk menaik taraf sistem perhubungannya dengan aplikasi lain iaitu Instagram, Messenger dan WhatsApp.

Beberapa pengguna Instagram kini dapat membuat hantaran masej kepada rakan di ruangan Messenger tanpa memerlukan akaun Facebook.

Pembaharuan itu adalah langkah pertama dalam perancangan Facebook untuk menggabungkan Instagram, WhatsApp dan Messenger seperti yang diumumkan tahun lalu.

Lapor CNN, usaha yang dibuat itu sekali gus dapat mengukuhkan dominasi Facebook dalam pasaran 'messaging' di masa hadapan.

Instagram, WhatsApp dan Messenger masing-masing mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna bulanan yang aktif.

Potensi pengguna Instagram dan Messenger untuk menghantar pesanan atau video sedang diuji di beberapa pasaran terpilih dan bakal berkembang secara global dalam beberapa bulan akan datang.

Facebook bagaimanapun memberi keyakinan bahawa pengguna akan membuat pilihan terhadap pembaharuan yang akan dilakukan itu.

Bagaimanapun, Facebook tidak mengeluarkan tarikh yang tepat untuk melakukan pembaharuan yang sama terhadap aplikasi WhatsApp.

Perancangan Facebook itu bermula pada Mac 2019 untuk menghubungkan perkhidmatannya termasuk WhatsApp, Instagram dan Facebook.

Rancangan tersebut dicetuskan dengan idea untuk memboleh pengguna yang hanya memiliki aplikasi WhatsApp, namun dapat membuat kiriman masej kepada rakan-rakan di Instagram atau Messenger serta sebaliknya.

Facebook berjaya memiliki Instagram pada 2012 dan aplikasi WhatsApp pada 2014, dan meletakkan Messenger ke aplikasinya sendiri pada 2011. - DagangNews.com