Fadzli Abdul Wahit
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 April – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan pelantikan Datuk Fadzli Abdul Wahit sebagai Ketua Pegawai Strategi baharunya berkuatkuasa 16 Mei depan bagi menggantikan Datuk Fadzli Shah Anuar.
Beliau akan bertanggungjawab untuk memimpin unit strategi, transformasi dan pengurusan ke arah perubahan MDEC dalam memacu ekonomi digital ke hadapan, menurut agensi itu dalam sebuah kenyataan hari ini.
Susulan perlantikan berkenaan, Fadzli akan bekerjasama rapat dengan Majlis Operasi MDEC (MOC), Ahli – Ahli Pengurusan Kanan serta Ahli - Ahli Lembaga Pengarah dalam menentukan strategi korporat yang berkesan untuk agensi bagi memenuhi misinya melahirkan masyarakat Malaysia yang inovatif serta terintegrasi dengan teknologi seperti yang digariskan dalam Malaysia 5.0.
Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff teruja apabila Fadzli menyahut cabaran untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai MDEC bagi memacu ekonomi digital negara.
“Pelantikan ini adalah sejajar dengan aspirasi agensi ini yang sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk melaksanakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
“Kepakaran yang dimiliki oleh beliau dalam perancangan strategik serta pencapaian membabitkan transformasi sektor awam dan swasta semestinya akan memberi nilai tambah kepada MDEC dan meningkatkan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," katanya menerusi kenyataan sama.
Fadzli sebelum ini berkhidmat selama lebih 20 tahun di KPMG dengan jawatan terakhirnya mengetuai sektor kerajaan di KPMG Malaysia dan memimpin pembangunan perniagaan untuk sektor kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Beliau telah berjaya melancarkan pelbagai projek dalam bidang teknologi maklumat, pengurusan strategi dan proses perniagaan serta inisiatif berkaitan sumber manusia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, Fadzli merupakan pakar strategi dan rakan perniagaan yang terkemuka serta berpengalaman luas.
“Ini diharapkan dapat meningkatkan keupayaan MDEC dalam memimpin agenda transformasi digital Malaysia.
“Menerusi pelantikan beliau, ini telah menandakan satu lagi tonggak dicapai dalam misi 'Mencipta Semula' MDEC.
“Saya yakin beliau merupakan aset yang sangat berharga bagi MDEC serta negara kita,” kata Surina lanjut.
Dalam pada itu, Fadzli juga akan mengetuai strategi makro untuk ekonomi digital dan pembangunan pelan strategik perniagaan termasuk peluang penjanaan pendapatan yang mampan.
Salah satu fungsi utama dalam jawatan tersebut adalah membina hubungan rapat dengan kementerian-kementerian utama dan pemegang taruh sektor kerajaan serta pemain industri.
"Sepanjang kerjaya, saya amat menitikberatkan sifat saling menghormati dan kerjasama strategik berimpak tinggi.
“Saya sangat teruja untuk meneruskan perjalanan baharu bersama MDEC dalam menjadikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) sebagai satu kenyataan.
“Kita harus berusaha dalam mencipta semula strategi bagi memacu transformasi digital negara. Saya sudah bersedia, berkhidmat untuk Malaysia dan rakyat," kata Fadzli. – DagangNews.com