KUALA LUMPUR 1 Nov - Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) Ageson Bhd berkata juruaudit luar semasanya Tetuan LTTH PLT telah menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan teraudit syarikat itu bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2024 (FPE2024).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ageson iaitu sebuah syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah, berkata ia menjangka dapat menyelesaikan isu berkaitan penafian pendapat dalam tahun kewangan akan datang.
“Syarikat akan bekerjasama rapat dengan juruaudit bagi menangani isu audit yang dibangkitkan mengenai penafian pendapat bagi penyata kewangan teraudit untuk FPE2024.
"Syarikat juga akan melibatkan penasihat utama untuk memberi nasihat mengenai penggubalan pelan penyusunan semula,” katanya.
Pada 23 Okt, ia telah mencadangkan supaya menukar nama syarikat itu kepada TXCD Bhd, yang tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang sahamnya pada mesyuarat agung tahunan akan datang pada 29 November ini.
Ageson terjerumus ke status PN17 pada 1 Nov 2023, berikutan penafian pendapat oleh juruaudit luarnya ketika itu Tetuan Jamal, Amin & Partners mengenai penyata kewangan teraudit syarikat untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Dis 2022.
Kebimbangan itu berkaitan kepada isu audit tertentu yang merangkumi urus niaga dalam syarikat dan tiga anak syarikat lain, iaitu Ageson SMSGMBH Sdn Bhd, Ageson Power Sdn Bhd dan Ageson Industrial Sdn Bhd.
Pada Mei, Ageson berkata perundingnya Virdos Lima Consultancy (M) Sdn Bhd tidak mendapati sebarang "penemuan buruk material daripada penilaian bebasnya". - DagangNews.com