KUALA LUMPUR 1 Nov - Perkembangan pusat data negara mungkin mendorong kepada ancaman siber yang menyasar pengguna Malaysia yang semakin menhingkat, menurut laporan terbaharu pakar keselamatan siber, Kaspersky.
Menurut Rangkaian Keselamatan Kaspersky (KSN), produk Kaspersky mengesan 7,250,590 ancaman siber internet dalam komputer pengguna KSN di Malaysia dari Julai hingga September 2024.
Data KSN menunjukkan pada suku ketiga 2024 (3Q24), 0.07%, atau 341,021 insiden ancaman siber berasal dari Malaysia berbanding 180,215 insiden dilaporkan pada tempoh sama tahun lepas.
Laporan itu berkata, serangan siber amat membimbangkan kerana Malaysia melabur banyak dalam infrastruktur pusat data. Penumpuan data sensitif dan infrastruktur kritikal dalam kemudahan ini bakal menjadi sasaran menarik kepada penjenayah siber.
Pusat data Malaysia semasa memberi perkhidmatan kepada pelanggan domestik, termasuk bank, syarikat telekomunikasi dan penyedia awan antarabangsa yang lebih kecil.
Pengarah Urusan Kaspersky untuk Asia-Pasifik, Adrian Hia berkata, pusat data itu menyimpan data sensitif, menjadikan pengguna Malaysia sangat terdedah kepada serangan siber.
Beliau berkata, bagi melindungi maklumat dan mengekalkan keyakinan pelanggan, syarikat perlu mengambil langkah keselamatan siber yang teguh seperti pengesanan ancaman lanjutan, pencegahan pencerobohan dan penyulitan data.
“Lanskap pusat data Malaysia yang semakin berkembang membentangkan kedua-dua peluang dan cabaran yang penting. Walaupun negara terus berkembang maju dalam sektor ini, masih terdapat keperluan mendesak untuk melabur lebih banyak dalam pendidikan dan latihan keselamatan siber.
“Dengan membangunkan tenaga kerja keselamatan siber yang mahir, Malaysia boleh memastikan perlindungan infrastruktur digital kritikalnya dan mengekalkan kelebihan daya saingnya dalam pasaran pusat data global,” kata Hia.
Mengulas mengenai Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini, Hia berkata, Kaspersky mengalu-alukan peruntukan kerajaan sebanyak RM30 juta untuk memerangi scam dan mengukuhkan keselamatan siber.
“Pelaburan ini merupakan langkah positif ke arah menangani peningkatan ancaman siber yang ditonjolkan dalam laporan kami baru-baru ini.
“Kami menggesa kerajaan untuk terus menumpukan pada membangunkan strategi keselamatan siber yang komprehensif, seperti mengutamakan peningkatan kemahiran tenaga kerja, meningkatkan kesedaran awam tentang ancaman dalam talian dan menggalakkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan pakar keselamatan siber," ujar Hia. - DagangNews.com