KUALA LUMPUR 1 Nov - MIDF Research menjangkakan pertumbuhan Sunway Construction Group Berhad (SunCon) bakal mencapai sasaran yang lebih tinggi berikutan pembangunan projek Fasiliti Teknologi Maju (ATF) yang meliputi pusat data, gudang dan kilang semikonduktor.
Firma penyelidikan itu berkata, SunCon yang mempunyai buku tender bernilai RM13.7 bilion pada Jun 2024 itu sedang membida pekerjaan secara aktif .
"SunCon juga telah menerima tambahan kontrak bernilai RM265 juta bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan penyewa (TIW) untuk pusat data JHB1X0 di Sedenak Tech Park, Johor Bahru.
"Ini termasuk menerima kontrak kerja-kerja TIW sebelumnya bernilai RM82 juta pada 6 September 2024 yang menjumlahkan kepada RM347 juta.
"Jumlah saiz kontrak meningkat kepada RM3.5 bilion daripada RM3.2 bilion sebelum ini dnegan tarikh penyiapan projek ditetapkan pada Februari 2026," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
MIDF Reserach berkata, syarikat pembinaan itu kini mempunyai nilai buku pesanan melebihi RM7.8 bilion dengan projek pembangunan pusat data mewakili 53%.
"Selain itu kami meramalkan SunCon menjadi antara penerima utama bagi projek peningkatan pembinaan dalam kedua-dua sektor swasta dan awam," ulasnya.
Sementara itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' terhadap SunCon memandangkan kerja-kerja TIW berada dalam anggaran penambahan semula.
"Saranan 'neutral' kami disokong oleh peningkatan saham dalam SunCon yang kukuh, melonjak 2.3 kali.
"Kami juga menetapkan harga sasaran (TP) pada RM4.46 disokong oleh pendapatan setiap saham (EPS) SunCon bagi FY25F sebanyak 18.6 sen," katanya. - DagangNews.com