KUALA LUMPUR 1 April – Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar membidas kecenderungan `tidak sihat’ Menteri-menteri di dalam Kerajaan Perpaduan yang mempertikaikan laporan media yang tidak menyebelahi mereka.
“Saya berpendapat hal ini berlaku disebabkan menteri-menteri berkenaan tidak cukup matang untuk menangani isu media,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Johan menzahirkan rasa kesal terhadap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang memarahi siaran Facebook Berita Harian berhubung laporan jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Menurutnya, kenyataan Fahmi bahawa laporan itu satu penipuan dan fitnah sama sekali tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
“Apatah lagi apabila ia datang dari seorang menteri yang bertanggungjawab ke atas media dan diberikan tanggungjawab sebagai jurucakap kerajaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: NUJ, Geramm bantah tindakan Fahmi memarahi laporan analisis ekonomi negara Berita Harian
“Beliau (Fahmi) juga sepatutnya faham bahawa laporan itu memetik pandangan dan ramalan penganalisis.
“Ini merupakan amalan biasa dalam laporan pemberitaan bisnes dan urusniaga seperti juga pandangan penganalisis politik dipetik untuk tujuan berita atau laporan politik semasa,” kata Johan.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi kata Johan, semua pandangan, baik yang menyokong atau menentang kerajaan seharusnya diberikan tempat.
“Saluran media bukan portal atau risalah rasmi kerajaan.
“Dengan kenyataan itu Fahmi telah menanamkan rasa tidak yakin orang ramai ke atas media serta menjejaskan nama baik media tempatan,” ujar beliau.
Johan berkata, Fahmi sebelum ini menjanjikan media bebas membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada.
“Saya juga kecewa bahawa sebelum ini menteri berkenaan melenting dengan laporan persepsi dan skor Kerajaan Perpaduan yang dibuat oleh lima media arus perdana,” katanya. – DagangNews.com