Fakhrunniam pangku jawatan CEO MSM  | DagangNews Skip to main content

Fakhrunniam pangku jawatan CEO MSM 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) telah melantik Fakhrunniam Othman (gambar) sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya berkuatkuasa semalam, sehingga Lembaga Pengarah mengenalpasti calon sesuai bagi jawatan berkenaan. 

Lantikan itu susulan pemecatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz baru-baru ini setelah Lembaga Pengarah kumpulan syarikat itu menolak penjelasannya mengenai perubahan terhadap pelupusan inventori. 

MSM menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, Fakhrunniam akan meneruskan tanggungjawab dan bidang kuasa bagi jawatan itu dan melaporkan terus kepada Lembaga Pengarah syarikat. 

Baca : Pengubahsuaian inventori MSM RM36.6 juta punca ketidakseimbangan

“Fakhrunniam telah dilantik sebagai Pegawai Bertugas pada 8 September 2020 untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan apabila jawatan itu kosong sejak 8 September hingga 5 Oktober 2020 berhubung perubahan pelupusan inventori berjumlah RM36.6 juta dalam penyata kewangan 2019 Sugar Refinery Sdn. Bhd. di Johor.  

Baca : CEO MSM dipecat setelah Lembaga Pengarah tolak penjelasannya

“Lantikan Fakhrunniam adalah berdasarkan pengalaman luas beliau dalam perakaunan, kewangan, perancangan strategik, pelaburan ditambah pengalamannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di tiga anak syarikat Kumpulan FGV,” kata MSM hari ini. 

Fakhrunniam merupakan lulusan dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), United Kingdom, Akauntan Berkanun dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Eksekutif) dari Institut Teknologi Royal Melbourne.

Baca : CEO MSM diarah cuti jawab isu seleweng

Tambah MSM, Lembaga Pengarah syarikat percaya ketika tempoh interim, Fakhrunniam membawa pemimpinan tinggi dalam melaksanakan inisiatif berterusan bagi strategi dan rancangan syarikat yang sedia ada dengan gangguan minimum. 

 “Jawatankuasa Eksekutif Lembaga telah ditubuhkan pada 8 September 2020 akan terus membimbing dan membantu Fakhrunniam.

“Lembaga Pengarah juga ingin memaklumkan proses mengenalpasti calon sesuai bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan telah bermula,” kata MSM. - DagangNews.com