FAM kongsi pandangan bersama Perdana Menteri bagi menaikkan semula industri bola sepak | DagangNews Skip to main content

FAM kongsi pandangan bersama Perdana Menteri bagi menaikkan semula industri bola sepak

Datuk Hamidin Mohd. Amin menyampaikan cenderamata kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan kunjungan hormat di Parlimen, semalam.-Gambar ihsan Facebook FAM

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi berkongsi usaha mereka dalam menaikkan semula industri bola sepak yang masih terkesan akibat COVID-19 di Parlimen, semalam.

 

Delegasi yang diketuai Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut membentangkan kalendar dan pengurusan terkini pasukan kebangsaan serta pertandingan domestik dan antarabangsa kepada Perdana Menteri.

 

Hamidin berkata, program pembangunan teknikal dengan matlamat memperkasakan pasukan kebangsaan termasuk pasukan bawah 22 tahun, bola sepak wanita, belia, bola sepak pantai dan futsal antara antara topik yang turut disentuh.

 

"Turut dibincangkan ialah perkembangan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang merupakan Presiden FAM dari 1984 hingga 2014," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook FAM, hari ini.

 

Dalam kunjungan itu, Hamidin turut diiringi Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram selain Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

 

Hamidin juga memohon pandangan Perdana Menteri mengenai usaha membangunkan tanah hak milik FAM yang lain bagi tujuan pembangunan bola sepak Malaysia di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat antarabangsa.

 

Beliau juga percaya, Ismail Sabri adalah seorang pemimpin yang arif dan mampu memahami situasi semasa industri bola sepak negara, memandangkan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2008 sehingga 2009.

 

"Pandangan Perdana Menteri sangat penting buat FAM terutama dalam melaksanakan perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara," katanya.-Dagangnews.com