FAMA Perak sasar RM2.7 juta bagi Jualan Agro Madani, beri impak ekonomi pada 50,000 pengguna | DagangNews Skip to main content

FAMA Perak sasar RM2.7 juta bagi Jualan Agro Madani, beri impak ekonomi pada 50,000 pengguna

Jualan Agro Madani FAMA memberikan penjimatan besar kepada rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 24 Ogos - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak diberi tanggungjawab melaksanakan 350 siri Jualan Agro Madani di seluruh negeri itu dengan sasaran jualan RM2.7 juta.

 

Pengarah FAMA negeri Perak, Noorsham Ramly berkata, buat masa ini sejak Januari lalu program tersebut telah dilaksanakan sebanyak 120 siri dengan nilai jualan melebihi RM1 juta.

 

Menurut beliau, Jualan Agro Madani merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan sasar khususnya masyarakat kurang berkemampuan berbelanja dengan berjimat.

 

"Di seluruh Perak jualan ini melibatkan pasar tani, pasar tani kekal, Agrobazaar dan kawasan penempatan penduduk.

 

'Program ini menawarkan penjimatan sebanyak 10% hingga 30% yang mana ia memberi impak ekonomi kepenggunaan kepada 50,0000 penduduk," ujarnya.

 

FAMA
Noorsham (dua dari kanan) semasa merasmikan Jualan Agro Madani di Pasar Tani Lekir, Manjung.

 

Mengulas lanjut kata Noorsham, istimewanya Jualan Agro Madani ialah pihak FAMA menyediakan jualan Kombo Madani dengan penjimatan besar kepada pembeli.

 

Katanya, Kombo Madani merupakan jualan bakul yang di dalamnya berisi barangan keperluan seperti seekor ayam, dua jenis sayuran dan bawang.

 

"Harga pasarannya kira-kira RM30 hingga RM32 tetapi dijual cuma RM15 setiap bakul.

 

"Kita dapat menawarkan harga jualan yang rendah ini kerana bekalan diperolehi daripada pembekal dan pekebun yang merupakan rakan strategik FAMA.

 

Kombo
Jualan Kombo Madani memberi penjimatan besar kepada pengguna.

 

Agro

 

"Kita cuma menyediakan 50 bakul Kombo Madani pada setiap siri jualan bagi memastikan ia dijual hanya pada kumpulan sasar," ujarnya.

 

Jelas Noorsham lagi, FAMA negeri Perak juga akan menganjurkan Jualan Agro Madani Bulan Kemerdekaan di Dataran Hentian R&R RTC Gopeng bermula esok hingga Khamis depan.

 

Jualan selama enam hari bagi meraikan sambutan kemerdekaan menawarkan jualan pelbagai komoditi segar yang berkualiti pada harga berpatutan. - DagangNews.com

 

Agro