Fandbee labur RM100 juta untuk berkembang di seluruh Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Fandbee labur RM100 juta untuk berkembang di seluruh Asia Tenggara

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pengedar makanan generasi ketiga Fandbee melabur sebanyak RM100 juta untuk berkembang ke seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia pada akhir 2022 bagi membantu perniagaan dan pelanggan menangani peningkatan kos makanan.

 

Pengarah Urusannya, Gareth Tan berkata, syarikat itu mempunyai misi melangkah ke arah kesaksamaan makanan dengan menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga paling berpatutan.

 

“Bagi mewujudkan kesaksamaan makanan dan menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga paling berpatutan, sebagai sebuah organisasi perniagaan, kami perlu terlebih dahulu mempunyai kelebihan kos yang lebih baik.

 

“Ini bermakna kuantiti pesanan kami perlu cukup besar untuk dapat berunding bagi harga kos paling kompetitif dengan pengeksport di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau percaya, Fandbee akan dapat mencapai misi itu dengan meluaskan operasinya di Malaysia dan Asia Tenggara selain menggabungkan teknologi dalam pelbagai saluran, perniagaan kepada pengguna, perniagaan kepada perniagaan, dalam talian dan luar talian kepada dalam talian.

 

“Mengenai model perniagaan kami, model perniagaan kepada perniagaan masih merupakan sebahagian besar daripada operasi kami.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pertumbuhan dua angka dalam segmen perniagaan kepada pelanggan menjelang 2025 dengan pelan pengembangan kedai dan dalam talian yang agresif.

 

“Kami berhasrat untuk menubuhkan pusat pengedaran nasional untuk mewujudkan cawangan di setiap negeri di Malaysia. Model perniagaan yang sama turut diguna pakai untuk operasi kami di luar negara, menjadikan Fandbee satu-satunya jenama rangkaian runcit milik Malaysia di luar Malaysia,” katanya.

 

Gareth berkata, jenama yang sebelum ini dikenali sebagai Lee’s Fandbee, kini merupakan antara pengedar yang paling pesat berkembang dan paling inovatif di Asia Tenggara dengan pusat operasinya di Malaysia, Kemboja dan Vietnam.

 

Setakat ini, Fandbee terdapat di 17 cawangan di Lembah Klang, satu cawangan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan dua lagi di Terengganu dan Kedah. - DagangNews.com