KUALA LUMPUR 2 Okt. - Syarikat penasihat dan pengurusan cukai, Ernst & Young Tax Consultants Sdn. Bhd. (EY) telah melantik Farah Rosley (gambar) sebagai Ketua Pasaran Cukai Malaysia baharu, berkuatkuasa semalam.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Farah berbesar hati apabila diberi peluang untuk mengetuai pertumbuhan pasaran dan pengembangan Perkhidmatan Cukai Malaysia EY.
“Berdepan landskap ekonomi yang suram disebabkan pandemik COVID-19, masa depan bakal mewujudkan banyak cabaran serta peluang untuk perniagaan.
“Ini merupakan saat yang menerujakan bagi saya memikul tanggungjawab ini. Saya menantikan peluang untuk meningkatkan lagi kedudukan kepimpinan EY di Malaysia,’ katanya.
Menerusi kenyataan sama, EY berkata, Farah bertanggungjawab untuk memacu pelaksanaan strategi pasaran cukai yang berkesan selain mengukuhkan jenama EY.
Jelas firma itu, Farah mempunyai lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam menguruskan rundingan cukai korporat di pelbagai sektor, melakukan kajian, mengkaji pakej insentif serta berunding dan mendapatkan pakej insentif.
“Farah pernah terlibat dalam inisiatif dan kajian khas kerajaan berkaitan cukai dan memberikan pandangan di dalam dasar kerajaan bagi sektor tertentu,” kata EY.
Farah menyertai kumpulan syarikat itu sebagai rakan kongsi pada tahun 2013 dan telah menyumbang kepada pembangunan portfolio pelanggan.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Presiden Institut Cukai Berkanun Malaysia (CTIM), Rakan anggota Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta ejen cukai berlesen dengan Kementerian Kewangan. - DagangNews.com