KUALA LUMPUR 8 Mac - Farm Fresh Bhd. yang bakal menyertai Papan Utama Bursa Malaysia tidak lama lagi dilihat berada dalam kedudukan kukuh sebagai pemain bersepadu dalam industri tenusu di negara ini.
Melihat kepada prospeknya yang berdaya tahan dan sasaran untuk berkembang dalam pasaran yang luas, mendorong Public Investment Bank Research meletakkan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada RM1.70 sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.35.
Penilaian itu adalah berdasarkan kepada gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 28x kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) pada 6.1 sen.
Firma itu percaya penilaian tersebut adalah wajar berdasarkan kepada dominasi Farm Fresh sebagai salah satu pengeluar produk tenusu terbesar dan paling pesat berkembang di Malaysia.
"Di samping itu, model perniagaan kumpulan 'grass to glass' membolehkannya mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap kualiti produk dengan penembusan pasaran yang meluas melalui pelbagai rangkaian pengedaran," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma itu, Farm Fresh juga dibarisi kumpulan pengurusan yang berpengalaman dalam industri tenusu diterajui Loi Tuan Ee, Azmi Zainal dan Loi Tuan Kin.
Pada 28 Februari lalu, Farm Fresh melancarkan prospektus penyenaraiannya yang dijangka menjana kira-kira RM1 bilion daripada IPO tersebut membabitkan penjualan 520.2 juta saham dan terbitan awam 223 juta saham baharu.
Menerusi langkah penyenaraiannya, harga IPO Farm Fresh ditetapkan pada RM1.35 sesaham dengan permodalan pasaran RM2.5 bilion apabila disenaraikan, manakala modal diperbesarkan sebanyak 1.86 bilion saham.
Ia merancang untuk menggunakan hasil yang dijana daripada terbitan awam berkenaan untuk membina hab pengeluaran, ladang tenusu dan kemudahan bersepadu baharu di Malaysia.
Farm Fresh, yang beroperasi sejak 2009, melaporkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM36.2 juta bagi FY21, iaitu kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 14.9% berbanding keuntungan selepas cukai RM27.4 juta pada FY19.
Bagi tahun kewangan 2019 hingga 2021, CAGR pendapatan kumpulan meningkat 65.9% daripada RM178.2 juta kepada RM490.5 juta.
Public Investment menjangkakan Farm Fresh akan merekodkan pertumbuhan pendapatan antara 7 hingga 21% bagi FY22 hingga FY24 didorong langkah pengembangan kapasiti pengeluaran dan saluran pengedaran di peringkat domestik.
Pertumbuhan itu juga, katanya, disokong menerusi pengembangan kapasiti daripada kemudahan Kyabram dan perancangannya untuk menyertai pasaran Indonesia.
"Kami menganggarkan kadar cukai kumpulan kira-kira 8% pada masa akan datang, terutama dengan kemasukan kemudahan Larkin di bawah cukai insentif pertanian dan Kemudahan Muadzam Shah di bawah Program Khas Insentif ECER.
"Dari segi gearan, Farm Fresh mempunyai nisbah gearan bersih sebanyak 0.8x. Tetapi, kami menjangkakan kumpulan akan berada dalam kedudukan tunai bersih selepas penyenaraian," jelasnya.
Mengenai bayaran dividen pula, kumpulan menyasarkan untuk membuat bayaran sebanyak 25% daripada perolehan tahunannya.
"Oleh itu, kami meramalkan pembayaran dividen sebanyak 25%, yang diterjemahkan kepada hasil dividen masing-masing sebanyak 0.8%, 0.9% dan 1.2% untuk FY22, FY23 dan FY24," tambah firma itu. - DagangNews.com