Farm Fresh, Jaya Grocer galak pengguna kurangkan penggunaan plastik | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh, Jaya Grocer galak pengguna kurangkan penggunaan plastik

Adelene Foo dan Loi Tuan Ee (kanan) bergambar ketika majlis pelancaran Milk on Tap @ Jaya Grocer.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Farm Fresh Bhd sedang meningkatkan usaha kelestarian dengan menggalakkan pengguna membeli susu segar dalam botol kaca yang boleh dipulangkan dan boleh digunakan semula.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Loi Tuan Ee hari ini mengumumkan inisiatif "Milk on Tap @ Jaya Grocer" dalam kerjasama eksklusif bersama Jaya Grocer.

 

Beliau berkata, pengguna di Jaya Grocer 163 Retail Park, Mont Kiara boleh mendapatkan susu segar yang disalurkan ke dalam botol kaca Farm Fresh pada harga sama iaitu RM7.90 seliter dengan hanya bayaran RM3 sekali untuk setiap botol kosong. 

 

"Mereka boleh memulangkan botol pada pembelian seterusnya sebagai pertukaran dengan botol yang baru diisi. Farm Fresh telah mengambil pendirian dasar korporat untuk mengurangkan jejak karbon kami dan mengambil langkah proaktif untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. 

 

"Pada masa ini, 37% daripada perolehan kami datang daripada produk yang menggunakan pembungkusan yang boleh dikitar semula sepenuhnya dan berhutan lestari, dan kami menyasarkan untuk meningkatkan tahap itu pada masa hadapan.

 

“Menyalurkan susu segar kepada pengguna dalam botol kaca boleh guna-semula sudah diamalkan di negara Barat. Ini bukan sahaja kelihatan lebih segar tetapi juga akan membantu menjadikan objektif sifar sisa lebih mudah dicapai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam ucapan terima kasih kepada Jaya Grocer kerana menerima idea tersebut, Loi mengulas bahawa ia adalah contoh bagaimana industri boleh membantu menangani masalah plastik dan mengurangkan beban di tapak pelupusan sampah.

 

 

ff

 

 

ff

 

 

"Kami tidak memerlukan semua orang membuat perubahan besar-besaran. Kami hanya memerlukan ramai orang untuk melakukan sedikit perubahan,” tambah beliau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berharap pelanggan akan menggunakan pilihan mesra alam ini sepenuhnya dan membantu mengurangkan penggunaan plastik. 

 

 

ff

 

 

ff

 

 

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Farm Fresh dalam inisiatif yang berbaloi ini kerana kami berkongsi kebimbangan yang sama terhadap kemampanan. Kami percaya pelanggan kami turut prihatin dengan percambahan plastik sekali guna.

 

“Ini semua adalah sebahagian daripada budaya perkhidmatan Jaya Grocer di mana kami berusaha untuk memperkenalkan cara baharu dan inovatif untuk menggembirakan pelanggan kami. 

 

"Kami menyasarkan untuk menjadikan setiap lawatan ke Jaya Grocer pengalaman yang memuaskan dan kali ini, kami gembira dapat membantu pelanggan kami mengurangkan sisa plastik, satu botol kaca pada satu masa,” katanya.

 

Jaya Grocer juga bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ini kepada pelanggan di cawangan Jaya Grocer yang lain kelak, bergantung kepada kejayaan projek perintis ini. - DagangNews.com