Fasa pertama pembesaran Pelabuhan Kemaman melibatkan pembinaan laluan keretapi dijangka siap 2024 | DagangNews Skip to main content

Fasa pertama pembesaran Pelabuhan Kemaman melibatkan pembinaan laluan keretapi dijangka siap 2024

Projek pembesaran Pelabuhan Kemaman akan menarik minat lebih ramai pelabur ke Terengganu.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KEMAMAN 15 Feb - Fasa pertama projek pembesaran Pelabuhan Kemaman yang melibatkan pembinaan laluan keretapi (spur line) dari stesen utama berdekatan ke pelabuhan itu dijangka siap sebelum akhir tahun depan.

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd), Muhtar Suhaili berkata, projek bernilai RM20 juta itu akan menghubungkan stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman.

 

Beliau berkata, ketika ini proses perbincangan untuk melantik konsultan dan pasukan pengurusan projek (PMT) sedang dilakukan.

 

Jelasnya, kerja-kerja awal pembinaan akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini dan projek itu akan siap dalam masa 13 bulan.

 

"Kewujudan laluan keretapi ini penting untuk melonjakkan lagi pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat dengan peningkatan kuantiti kargo serta keuntungan kos pengendalian operasi di pelabuhan.

 

"Secara tidak langsung, kewujudannya juga dapat menarik minat lebih banyak pelabur baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menggunakan Pelabuhan Kemaman sebagai pintu masuk utama perdagangan dan perindustrian mereka," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membawa pengamal media meninjau operasi Pelabuhan Kemaman dekat Teluk Kalong di sini, semalam.

 

pelabuhan
                                             Muhtar Suhaili

 

 

media
Pengamal media dibawa melawat operasi Pelabuhan Kemaman di Teluk Kalong, Terengganu pada 14 Februari 2023.

 

 

Pelan pembesaran Pelabuhan Kemaman akan melalui tiga fasa dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM3 bilion sebagai persediaan menampung peningkatan pemain industri import dan eksport kargo pada masa akan datang.

 

Ketika ini, Pelabuhan Kemaman yang terdiri daripada Dermaga Timur (East Wharf), Dermaga Barat (West Wharf) dan Liquid Chemical Berth (LCB) menjadi pilihan banyak syarikat perusahaan dan perkilangan di Terengganu yang menggunakan jalan laut untuk mengimport barang mentah dan mengeksport barangan pembuatan ke luar negara dalam kuantiti yang besar. 

 

Selain itu, pertumbuhan pesat  aktiviti cari gali minyak di sekitar Laut China Selatan juga menyumbang kepada peningkatan  penggunaan kapal-kapal 'supply' di Pelabuhan Kemaman.

 

 

pelabuhan
Operasi pengendalian dan pengangkutan kargo antara penyumbang utama pendapatan di Pelabuhan Kemaman.

 

 

Mengulas lanjut, Muhtar berkata, ketika ini, EPIC Bhd juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan beberapa pelabur dari luar negara yang berminat dengan projek pembesaran jangka masa panjang Pelabuhan Kemaman.

 

"Fasa kedua akan bermula pada tahun 2026, manakala fasa ketiga akan bermula pada tahun 2030 dengan sasaran meningkatkan lagi keupayaan di pelabuhan itu untuk mengendalikan kargo kepada 33 juta tan metrik setahun," katanya.

 

 

pelabuhan

 

 

EPIC Berhad adalah salah satu syarikat di bawah Terengganu Incorporated (Terengganu Inc). 

 

Memiliki lebih 1,500 orang pekerja, EPIC ialah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan dan penyelesaian minyak dan gas bersepadu dengan lapan anak syarikat utama yang terlibat aktif dalam sektor minyak dan gas sama ada huluan mahupun hiliran, pengurusan pelabuhan dan tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com