KUALA LUMPUR 17 Feb - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bersama Kwasa Land Sdn. Bhd. (Kwasa Land) serta pemaju induk pembangunan Bandar Kwasa Damansara dengan kerjasama Gagasan Nadi Cergas Berhad melancarkan fasa pertama perumahan mampu milik menerusi projek Rumah Idaman Kwasa Damansara.
Projek pangsapuri fasa pertama itu akan melibatkan pembangunan 4,694 rumah yang dijangka siap menjelang 2026 dan seramai 20,000 penduduk akan menerima manfaat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari percaya bahawa pembangunan itu dapat memberi nilai tambah dalam penawaran unit rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40 di Selangor dan ia adalah dedikasi Kerajaan Selangor dalam memperbaiki kualiti hidup rakyat melalui pembangunan mampan.
"Saya juga yakin perbandaran baharu Kwasa Damansara akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di utara Lembah Klang.
"Sebagai pembangunan berorientasikan transit dengan rangkaian sambungan yang baik, Kwasa Damansara akan menjadi pembangunan yang ideal untuk memenuhi keperluan golongan profesional muda dan keluarga dalam persekitaran bandar bersepadu," katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pecah tanah projek perumahan berkenaan.
Secara keseluruhan, Kwasa Land akan memperuntukkan 40% daripada jumlah perumahan di perbandaran itu sebagai unit rumah mampu milik dengan 10,000 unit daripada 25,000 unit kediaman dikhususkan untuk tujuan itu.
Setiap unit pangsapuri Rumah Idaman mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta akan dilengkapi dengan set televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air dan penghawa dingin.
Pembangunan ini mempunyai reka bentuk moden kontemporari yang menarik dan juga akan dilengkapi dengan dua ruang tempat letak kereta untuk setiap unit pangsapuri.
Rumah Idaman Kwasa Damansara akan dibangunkan berhampiran dengan kawasan hijau seperti taman awam, kebun bunga dan prasarana hijau di dalam pembangunan rendah karbon.
Pembangunan itu akan mempunyai hab komersilnya sendiri yang terdiri daripada kedai makan, kedai serbaneka, dobi dan banyak lagi.
Sementara itu, Pengerusi Kwasa Land Sdn. Bhd., Tan Sri Mohammed Azlan Hashim berkata, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion, pembangunan itu menggariskan komitmen bersama dengan Gagasan Nadi Cergas dalam projek itu.
"Kami mahu memberi lebih banyak peluang kepada rakyat dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40 untuk memiliki rumah, sejajar dengan matlamat berterusan kerajaan negeri dan merapatkan jurang dalam kemampuan pemilikan rumah.
"Ia juga selaras dengan falsafah inklusif kami yang merancang portfolio pembangunan yang pelbagai bagi menawarkan pilihan perumahan untuk semua lapisan masyarakat," katanya. - DagangNews.com