Fave Lancar ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ di Singapura dan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Fave Lancar ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ di Singapura dan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Jun  - Fave, syarikat teknologi kewangan (fintech) yang berkembang pesat di Asia Tenggara, telah melancarkan perkhidmatan “Beli Sekarang Bayar Kemudian” (BNPL) di Singapura dan Malaysia.

 

Perkhidmatan ini menawarkan akses segera kepada kredit bebas faedah yang boleh digunakan di lebih 40,000 kedai untuk lebih 6 juta pengguna Fave sebagai fasa rintis. Bermula hari ini, perkhidmatan ini akan tersedia di aplikasi Fave untuk pengguna iOS, diikuti dengan Android pada Julai 2021.

 

Menerusi pelancaran FavePay Later yang menawarkan pembayaran fleksibel tanpa faedah di aplikasi Fave, Fave mengolah semula cara generasi pengguna baru mendapat dan menggunakan kredit. Pengguna Fave yang layak boleh membahagikan pembelian kepada tiga bayaran ansuran yang sama tanpa faedah.

 

Bayaran balik akan dibuat secara automatik setiap bulan, tanpa sebarang bayaran tambahan untuk pembayaran yang menepati waktu. Tambahan pula, pelanggan akan menikmati pulangan tunai sehingga 10% dengan setiap pembelian.

 

FavePay Later kini tersedia di semua peniaga Fave di Singapura dan Malaysia, termasuk jenama-jenama premium dalam vertikal runcit popular seperti Pandora, Marks & Spencer, Best Denki, Puma, GNC dan sebagainya.

 

FavePay Later dilancarkan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan sosial yang berlanjutan, dengan ramai pengguna giat mencari akses kredit yang lebih mudah akibat kesuntukan wang, serta peniaga yang meneroka cara inovatif untuk memulihkan jualan.

 

FavePay Later merupakan satu penyelesaian mudah untuk peniaga kerana tidak membabitkan integrasi atau platform tambahan. Jadi, peniaga akan dapat menikmati keuntungan daripada peningkatan pelanggan baharu, pendapatan, dan kesetiaan pelanggan tanpa mengambil risiko tambahan, manakala pengguna dapat membuat pembelian dan membahagikan pembayaran kepada tiga ansuran tanpa faedah, bak kata pepatah ‘sambil menyelam minum air’.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh berkata, kerjasama antara peniaga dengan rakan kerjasama yang menyediakan penyelesaian bersepadu adalah semakin penting, contohnya Fave yang menawarkan pembayaran tanpa tunai, program kesetiaan dan terbaharu pula, pembayaran ansuran yang mengurus semua pemprosesan dan risiko bagi peniaga.

 

"Di samping itu, peniaga dapat memperoleh akses ke data tabiat pengguna dan maklumat bernilai menerusi Favebiz.com,” tujar beliau. - DagangNews.com