Felda hanya miliki 81% pegangan FGV | DagangNews Skip to main content

Felda hanya miliki 81% pegangan FGV

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 16 Mac - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) gagal meraih sokongan pemegang saham untuk menjadikan FGV Holdings Bhd. sebagai syarikat persendirian.

 

Dalam maklumannya di Bursa Malaysia malam tadi,  FGV berkata, agensi pembangunan tanah itu hanya memperoleh 81% pegangan ekuiti atau 2,955,241,291 saham dalam syarikat perladangan itu apabila tawaran pengambilalihan itu ditutup 5 petang (15 Mac). 

 

"Setakat 5 petang, saham Felda dan pihak yang bertindak (PAC) dengannya berjumlah 80.99% dengan 2,954,785,491 saham. 

 

"Malah, Felda turut menerima lagi 455,800 saham atau 0.1% daripada pemegang saham yang menerima tawaran tersebut," jelas Maybank Investment Bank yang mewakili Felda dalam makluman itu.

 

Baca : Perbalahan tawaran harga saham, sukarkan Felda

 

Felda sebelum ini bercadang untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian dengan tawaran harga RM1.30 sesaham.

 

Untuk itu, Felda perlu memperoleh 90% saham yang tidak dimilikinya daripada penerimaan tawaran pengambilalihannya dalam FGV.

 

Pada 7 Disember lalu, Felda mengumumkan tawaran pengambilalihan itu dan bertukar kepada tanpa syarat pada 23 Disember 2020. 

 

Tawaran itu kemudiannya dilanjutkan 3 kali daripada 2 Februari hingga 15 Mac 2021. 

 

TA Securities dalam nota kajian 9 Februari lalu berkata, jika Felda memiliki 90% atau lebih pegangan dalam FGV, Bursa Securities akan menggantung saham syarikat itu serta-merta dalam tempoh 5 hari daripada penutupan tarikh penerimaan tawaran.

 

Sekiranya paras pegangan itu dicapai, Felda akan mengemukakan permohonan kepada FGV untuk mengambil prosedur sewajarnya bagi menarik balik status penyenaraian.

 

Tetapi jika sebaliknya, satu resolusi khas perlu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) seandainya Felda gagal memperoleh ambang 90% walaupun menguasai lebih daripada 75% saham bebas. - DagangNews.com