Felda letak harapan pada Dzulkifli terajui FGV | DagangNews Skip to main content

Felda letak harapan pada Dzulkifli terajui FGV

 

 


KUALA LUMPUR 1 April - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meletakkan harapan dan keyakinan yang tinggi ke atas pengerusi baharu FGV Holdings Bhd. untuk membawa kecemerlangan kepada syarikat perladangan itu. 

 

Dalam kenyataan, Felda berkata, ia selari dan senada dengan aspirasi Felda terutama dalam menjamin kesejahteraan warga peneroka.

 

Menurutnya, Felda memantau rapat sebarang perkembangan di FGV dan melihat pelantikan Datuk Dzulkifli Abd. Wahab sebagai sangat bertepatan dengan aspirasi dan objektif konsolidasi pegangan saham FGV yang dilaksanakan baru-baru ini.

 

"Kami menyambut baik pengumuman terkini yang dibuat FGV ke Bursa Malaysia mengenai pelantikan Dzulkifli sebagai Pengerusi FGV berkuat kuasa 1 April 2021.

 

"Sebagai pemegang saham terbesar FGV dengan pegangan 80.01%, pelantikan Pengerusi FGV semestinya memberi impak yang besar kepada Felda," katanya.

 

Dzulkifli merupakan individu yang tidak asing dengan Felda dan pernah mengemudi organisasi ini selama lebih 30 tahun dengan pengalaman yang meluas dalam bidang perladangan dan juga pembangunan komuniti peneroka.
 

Beliau sebelum ini turut aktif memberi khidmat runding bagi projek pembangunan tanah dan ladang di Indonesia, Afrika Selatan dan Filipina. 

 

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Felda Technoplant Sdn Bhd pada 2017.

 

"Seluruh ahli lembaga pengarah, pengurusan serta warga peneroka mengucapkan selamat bertugas kepada beliau.

 

"Kami berharap agar pengalaman serta kepakaran beliau akan dapat memacu FGV kembali menjadi sebuah syarikat perladangan yang terbaik di dunia seterusnya mengembalikan kegemilangan Felda," tambahnya. - DagangNews.com