Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 16 Mac - Meskipun memiliki 81% pegangan dalam FGV Holdings Bhd., Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berpegang kepada prinsip, 'we are one' demi kemajuan kedua-dua pihak pada masa akan datang.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataan hari ini susulan tamat tempoh tawaran pengambilalihan pukul 5 petang, semalam.
"Saya percaya kerjasama Felda dan FGV akan membentuk sinergi yang membawa manfaat kepada kedua-dua organisasi.
"Untuk terus mengorak langkah ke hadapan, adalah penting untuk kita memegang prinsip 'we are one'," katanya.
Pada 8 Disember lalu, Felda mengumumkan pembelian 506.2 juta saham mewakili 13.88% pegangan saham FGV daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah pada harga RM1.30 sesaham berjumlah RM658 juta.
Ini meningkatkan pegangan saham Felda dan sekutunya (termasuk Koperasi Permodalan Felda-KPF) dalam FGV daripada 36.6% kepada 50.5% sekali gus mencetuskan tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki oleh Felda dan sekutunya.
Pembelian saham daripada KWAP dan Urusharta Jamaah telah selesai pada 22 Disember 2020 dan mengakibatkan tawaran am mandatori tersebut menjadi tidak bersyarat.
Sebanyak 987.3 juta (27.1%) saham telah diterima oleh Felda berikutan tawaran am mandatori manakala 125.6 juta (3.4%) saham telah dibeli di pasaran.
Dengan pegangan itu, ini bermakna Felda (dan KPF) kini menguasai 81.0% saham FGV manakala Kerajaan Negeri Pahang pula memiliki 5% dan Kerajaan Negeri Sabah (dan syarikatnya Sawit Kinabalu) memiliki 4% saham FGV.
Sebagai sebuah anak syarikat, ini membolehkan pengurusan ladang di bawah perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV beserta kilang sawit diintegrasikan dengan ladang Felda yang lain supaya lebih cekap dan berkesan untuk manfaat bersama Felda dan FGV.
Sementara itu, Ketua Pengarah Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar menyifatkan gandingan kerjasama antara Felda dan FGV mampu memberi nilai tambah kepada agensi itu terutamanya dengan lebih memfokuskan aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini.
"Aktiviti hiliran akan memberi margin keuntungan yang lebih tinggi dan akan mampu mengukuhkan kedudukan kewangan FELDA dengan lebih mapan," katanya.
Secara dasarnya, pengambilalihan FGV oleh Felda adalah suatu langkah penting dalam Pelan Pemulihan Felda yang telah diluluskan oleh kerajaan demi manfaat 112,638 peneroka dan 2 juta warga besar Felda. - DagangNews.com