Felda perlu mantapkan pengurusannya - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Felda perlu mantapkan pengurusannya - Mustapa

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pemulihan Felda tidak lengkap jika hanya melibatkan tindakan kerajaan semata-mata, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

 

Sehubungan itu, katanya, pengurusan Felda telah diarahkan untuk memantapkan lagi pengurusannya dengan merangka Model Baharu Felda. 

 

Model ini berteraskan kepada penambahbaikan tadbir urus, operasi ladang yang lebih cekap, warga peneroka, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penggunaan teknologi dan keberkatan bagi memastikan Felda berada di tahap lebih mandiri dan lestari. 

 

Jelas beliau, langkah-langkah pemulihan tersebut dijangka membawa hasil positif kepada Felda pada 2023. 

 

"Ini dapat memastikan Felda mencapai kejayaan seperti mana syarikat perladangan utama yang lain dan berada di landasan teguh bagi melunaskan tanggungjawabnya sebagai agensi yang membela nasib lebih daripada 100,000 keluarga peneroka tanpa kebergantungan kepada kerajaan," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai pelan perancangan kerajaan bagi memulihkan kembali aliran tunai dan juga hutang korporat Felda.

 

Mustapa berkata, bagi memastikan Felda mencapai kemampanan kewangan dan kelestarian, Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu telah meluluskan pelan pemulihan Felda.

 

Antara cadangan yang diluluskan adalah penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion di mana RM6.0 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang Felda. 

 

Sebahagian bakinya akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras iaitu melalui pengambilalihan pegangan saham FGV Holdings Bhd. serta melaksanakan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA).

 

Selain itu, katanya, bagi memastikan petunjuk prestasi utama yang ditetapkan dicapai, Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda telah ditubuhkan. 

 

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar, akan memantau pelaksanaan langkah-langkah ini dengan rapi agar ia dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar

 

"Kita perlu melihat ke hadapan, dalam memantapkan lagi Felda," katanya. 

 

Menurut Mustapa, Felda mula berhadapan dengan masalah kewangan sejak 2013 apabila menghadapi kerugian dan pendapatan sebelum cukai yang semakin merosot. 

 

Ini disebabkan antara lain, penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 2012 apabila Felda kehilangan sumber pendapatan yang penting serta harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.

 

Bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan dengan lancar, Felda terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion. 

 

Pada September tahun ini, katanya, Felda telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion. 

 

"Sehubungan itu, kerajaan telah bersetuju untuk memberi moratorium selama 2 tahun kepada Felda untuk salah satu daripada hutangnya dan sebuah institusi yang lain memberi Felda moratorium selama 6 bulan.

 

Di samping itu, katanya, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda. - DagangNews.com