FGV akan serah laporan audit pekerja asing kepada US CBP pada September ini, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

FGV akan serah laporan audit pekerja asing kepada US CBP pada September ini, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - FGV Holdings Berhad akan menyerahkan laporan audit pekerja asingnya kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) pada September ini.

 

AmInvestment Bank Research (AmInvestment) berkata, pada masa ini, Elevate, yang merupakan perunding kumpulan itu sedang menjalankan kerja pengesahan ke atas pembayaran pemulihan yang dibuat kepada pekerja asingnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu tidak berdepan masalah kekurangan tenaga pekerja yang serius dan ia hanya sekitar 11% berbanding 38% pada sebelum ini.

 

"FGV merancang untuk membawa masuk 900 pekerja dari Indonesia dan India pada Jun atau Julai ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih FGV menjunam kira-kira 96% kepada RM12.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM369 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Kemerosotan tersebut adalah akibat harga purata minyak sawit mentah (MSM) direalisasikan yang lebih rendah dan kerugian sektor gulanya namun diimbangi oleh keuntungan sektor logistik.

 

Pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu juga merosot 21.5% kepada RM4.59 bilion daripada RM5.85 bilion tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) menyusut kepada 0.3 sen berbanding 10.1 sen sebelumnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencapai kos pengeluaran (perubahan bekas kilang dan pajakan tanah) sebanyak RM2,944/tan pada 1QFY23 berbanding RM2,057/tan pada 1QFY22.

 

Kos baja meningkat sebanyak 40% dan gaji meningkat sebanyak 30%.

 

"Kumpulan itu berharap dapat merekodkan kos pengeluaran yang lebih rendah iaitu RM2,400-RM2,500/tan untuk setahun penuh.

 

"Kos pengeluaran setiap tan dijangka menurun pada separuh kedua 2023 berikutan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.35 sesaham. - DagangNews.com