FGV batal kerjasama dengan Dalian  | DagangNews Skip to main content

FGV batal kerjasama dengan Dalian 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Perancangan FGV Holdings Bhd. untuk bekerjasama dengan Dalian Commodity Exchange (DCE) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai 2 tahun lalu gagal diteruskan. 

MoU itu membabitkan kerjasama projek pengantarabangsaan niaga hadapan minyak sawit. 

Menurut FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, lembaga pengarah mengumumkan MoU itu tamat pada 14 November 2020 dan tiada keperluan untuk melanjutkannya buat masa ini. 

"Matlamat utama MoU ini adalah menzahirkan hasrat kami untuk bekerjasama dalam projek pengantarabangsaan niga hadapan minyak sawit. 

"Ini memandangkan objektif DCE adalah untuk memperluaskan lokasi penghantaran niaga hadapan minyak sawit di peringkat serantau termasuk Malaysia," katanya. 

Jelas syarikat perladangan itu, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama syarikat atau individu yang mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam MoU itu. 

"Malah, dengan tamatnya MoU ini juga, ia tidak memberi sebarang impak kewangan kepada kumpulan," katanya. 

Dua tahun lalu, FGV menandatangani perjanjian tersebut dengan DCE yang merupakan bursa niaga hadapan terbesar dunia dalam pertanian, plastik, arang batu dan bijih besi.

Objektif utamanya adalah untuk meningkatkan kerjasama dengan syarikat minyak sawit di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Melalui MoU itu, ia memberi fokus kepada perkhidmatan yang ditawarkan FGV menerusi anak syarikatnya, Felda Johor Bulkers Sdn. Bhd. (FJB). 

Dalam kenyataan FGV pada ketika itu, MoU berkenaan dijangka menjana perolehan sebanyak RM1.5 juta dengan keuntungan RM525,000 setiap bulan berdasarkan unjuran hasil sebanyak 50,000 tan metrik.  

DCE memiliki 16 kontrak niaga hadapan yang disenaraikan untuk perdagangan merangkumi pelbagai hasil pertanian dan perindustrian.

Ketika menandatangani kerjasama itu, pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, FGV akan dapat bekerjasama dengan DCE untuk berkembang di luar China dan menyokong rancangannya untuk mempercepatkan proses penghantaran minyak sawit kepada pembeli.

Melalui anak syarikatnya, FGV China Oils Ltd (FGVCO), kerjasama itu akan menjadi pemangkin untuk membuka lebih banyak potensi kerjasama dalam industri lain yang berkaitan di China dan usaha B2B untuk memperluaskan operasi perniagaan berasaskan sawit di rantau ini. - DagangNews.com