FGV : Felda sebenarnya gagal atau tidak? | DagangNews Skip to main content

FGV : Felda sebenarnya gagal atau tidak?

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Usaha Felda untuk menyahsenarai FGV Holdings Bhd. dari papan utama Bursa Malaysia 'tersekat' apabila agensi yang menaungi lebih 100,000 peneroka itu gagal menguasai 90% kepentingan dalam syarikat perladangan tersebut. 

 

Apabila tawaran mandatori ditutup pukul 5 petang, 15 Mac lalu, Felda menguasi 81% pegangan dengan jumlah saham sebanyak 2.955 bilion. 

 

Bagaimanapun, 'kegagalan' ini secara dasarnya, hanya di atas kertas. Hakikatnya, Felda kini merupakan pemegang saham majoriti dalam FGV.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang memiliki 5% dan Kerajaan Negeri Sabah (dan syarikatnya Sawit Kinabalu) memiliki 4% pegangan.

 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) pula secara kolektif memiliki lebih daripada 4% kepentingan ekuiti. Minister of Finance Inc juga memiliki 5.48% atau 200 juta saham dalam FGV.

 

Ini menyaksikan pegangan saham awam dalam FGV berkurangan kepada 14.01%, lebih rendah berbanding pematuhan penyenaraian yang memerlukan 25% pegangan awam bagi syarikat tersenarai. 

 

FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, turut memohon tempoh lanjutan untuk memperbaiki pegangan awam ini selepas pegangan Felda meningkat ekoran tawaran ambil alih mandatori pada RM1.30 sesaham. 

 

Tempoh itu juga membolehkan Felda merangka pelan bersesuaian berhubung status penyeraian FGV. 

 

Jadi, dalam situasi ini apakah pilihan yang ada bagi FGV mahupun Felda?

 

 

Status penyenaraian

 


Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang melihat beberapa senario yang mungkin berlaku berdasarkan bacaannya dalam pekeliling penasihat bebas kepada pemegang saham FGV bertarikh 22 Januari lalu. 

 

Senario 1

  • FGV meminta supaya Bursa Securities menerima tebaran pegangan awam yang rendah jika ia berpuas hati yang kadar itu mencukupi untuk kecairan pasaran dalam saham

 

Senario 2

  • Memohon lanjutan masa untuk memperbetulkan keadaan

 

Senario 3

  • Boleh memohon untuk menarik balik penyenaraian daripada senarai rasmi sekiranya FGV mengadakan mesyuarat agung untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham dan berjaya meluluskan resolusi yang memerlukan 75% daripada jumlah sekuriti terbitan oleh pemegang saham yang hadir dan undian sama ada oleh individu atau proksi serta jumlah undi yang menentang resolusi tersebut tidak lebih 10%

 

 

Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berpendapat, dengan tempoh permohonan lanjut untuk memperbetulkan kekurangan dalam pemegang saham awam akan memberi peluang kepada FGV meniliti semula objektif pengambilalihan. 

 

Ini sekali gus membolehkan mereka merancang pelan yang lebih kukuh, jelas beliau kepada DagangNews.com. hari ini.

 

"Faktor ini berkemungkinan akan membantu meyakinkan beberapa pemegang saham ketara untuk bersetuju menjual saham mereka. 

 

"Namun, kami melihat perkara ini masih di peringkat awal untuk memberi komen selanjutnya memandangkan FGV masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan pelan baru," katanya.

 


Sementara itu, TA Securities dalam nota kajian bertarikh 9 Februari lalu berkata, jika Felda memiliki 90% atau lebih pegangan dalam FGV, Bursa Securities akan menggantung saham syarikat itu serta-merta dalam tempoh 5 hari daripada penutupan tarikh penerimaan tawaran.

 

Sekiranya paras pegangan itu dicapai, Felda akan mengemukakan permohonan kepada FGV untuk mengambil prosedur sewajarnya bagi menarik balik status penyenaraian.

 

Tetapi jika sebaliknya, satu resolusi khas perlu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) seandainya Felda gagal memperoleh ambang 90% walaupun menguasai lebih daripada 75% saham bebas.

 

FGV bulkers

 

 

Apa peluang Felda jika EGM dibuat?

 

Menurut Imran Yassin, EGM berkemungkinan akan dijalankan berikutan kegagalan Felda untuk mencapai paras ambang 90%.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha untuk menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian mempunyai peluang yang sangat tipis untuk berjaya. 

 

"Terdapat kemungkinan beberapa pemegang saham yang ketara, iaitu yang memegang saham antara lingkungan 4% hingga 5% mungkin tidak bersetuju untuk menjual pegangan mereka. 

 

"Tambahan pula, tawaran harga dilihat agak rendah jika dibandingkan dengan harga kelapa sawit sekarang yang telah mencecah RM4,000 satu tan metrik," katanya.

 

FGV bagaimanapun, setakat ini belum mengeluarkan sebarang dokumen hitam putih berkenaan mesyuarat tersebut.

 

Awal minggu ini, harga minyak sawit mentah melonjak ke paras tertingginya pada RM4,247.50 satu tan metrik.

 

Bagi Lee Fang, risiko berlakunya nyahsenarai masih ada melainkan Felda memberi penjelasan selanjutnya.  

 

"Kami berpendapat, Felda akan tetap meneruskan hasratnya (mengeluarkan FGV daripada penyenaraian di Bursa Malaysia dan boleh mengadakan mesyuarat agung bagi meluluskan resolusi ini," tambah beliau. 

 

Apa yang lebih menarik, saham FGV mula mencuri tumpuan. Semalam, sahamnya melonjak 20.77% kepada RM1.57 sesaham, paras tertinggi sejak Ogos 2018 ketika ditutup menjadikan modal pasarannya bernilai RM5.73 bilion. 

 

CGS CIMB melihat pergerakan itu lebih kepada pergerakan yang didorong spekulasi yang Felda akan menawarkan harga lebih tinggi untuk mengambil alih syarikat pada tempoh sesuai. 

 

Malah, katanya, mungkin juga Felda mahu kekalkan status penyenaraian dengan tebaran pegangan saham awam yang rendah. 

 

"Jika usaha Felda berjaya (nyahsenarai), harga saham FGV akan jatuh semula kepada RM1.30 sesaham yang mana terdapat kemungkinan berlaku tawaran secara tunai ekoran risiko nyahsenarai," jelasnya. 

 

 

Konflik harga saham 

 


Dengan mengemukakan tawaran harga pada RM1.30 sesaham bagi memiliki saham yang tidak dimilikinya, usaha Felda itu dilihat tidak menarik di mata pemegang saham FGV.

 

Perkara ini pernah dipersoalkan pengarah-pengarah FGV tidak berkepentingan yang mengesyorkan kepada para pemegang saham untuk menolak tawaran Felda menerusi kenyataan yang dikeluarkan FGV pada 22 Januari lalu. 

 

Bahkan, mereka menyifatkan harga tawaran adalah tidak adil kerana ia berada di bawah nilai saksama oleh RHB Investment Bank (bank penilai yang dilantik oleh FGV) antara RM1.42 hingga RM1.60 setiap saham FGV, atau 8.5% hingga 18.8% di bawah nilai saksama bagi saham FGV.

 

MSM

 

 

Selain saham FGV turut menimbulkan pertikaian, anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd. mula menunjukkan prestasi saham yang lebih baik apabila ia melaporkan tahun kewangan lebih baik pada 2020.

 

Bagi suku keempat 2020, MSM merekodkan untung bersih sebanyak RM56.24 juta berbanding kerugian bersih RM40.28 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran keseluruhan margin yang tinggi dan kos kewangan rendah. 

 

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, kerugian bersihnya menyusut kepada RM71.23% berbanding RM299.77 juta tahun sebelumnya.

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham MSM meningkat 6.78% kepada RM1.89 sesaham, menokok lebih 3 kali ganda sejak 3 minggu lalu, pada 55 sen sebelum itu. 

 

Tetapi, saham FGV pula susut 0.65% kepada RM1.53 sesaham. 

 

Dengan harga MSM terus meningkat, ini bermakna syarikat itu adalah lebih bernilai berbanding tempoh awal ketika Felda mengumumkan tawaran pengambilalihan FGV pada 8 Disember lalu. 

 

FGV memiliki 51% dalam MSM dan sebarang pergerakan saham syarikat ini pastinya akan mencuri tumpuan. 

 

MIDF Research sebelum ini menaikkan harga sasaran MSM kepada RM1.96 berbanding 56 sen sebelum ini apabila syarikat gula itu menunjukkan prestasi yang positif setelah lapan suku berturut-turut merekodkan kerugian. 

 


Masa depan FGV

 

Tanpa perjanjian tanah pajakan (LLA), FGV akan muncul sebagai syarikat perladangan yang memberi fokus kepada segmen hiliran. 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, segmen hiliran kumpulan merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) yang tinggi sebanyak RM91 juta berbanding RM3 juta bagi tempoh sama 2019. 

 

Secara keseluruhan, untung bersih FGV pada suku itu juga meningkat 87.8% kepada RM134.9 juta berbanding RM71.8 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, FGV turut merekodkan prestasi yang baik apabila merekodkan untung bersih sebanyak RM150 juta berbanding kerugian bersih RM246 juta bagi tempoh sama 2019.

 

Sehubungan itu, MIDF Research berpendapat, pendapatan kumpulan akan kekal optimis didorong harga minyak mentah dan pengeluaran buah tandan segar yang sederhana. 

 

Di sebalik beberapa isu yang masih menyelubungi syarikat perladangan itu terutama isu sekatan import minyak sawit ke Amerika Syarikat ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa, namun, masa depan FGV kekal kukuh. 

 

"Selain itu, dengan mengambil kira harga purata jualan (ASP) guna bertapis dan peningkatan jualan akan membantu MSM merekodkan pendapatan lebih baik pada suku berikutnya," jelas firma itu. 

 

Felda pula sebagai pemegang saham majoriti, akan memberi tumpuan untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini. 

 

Bagi agensi itu, aktiviti hiliran akan memberi margin keuntungan yang lebih tinggi sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan Felda dengan lebih mapan.

 

Semoga kedua-dua pihak mencapai kata putus diharapkan, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berserak.  - DagangNews.com