FGV Integrated Farming beli 100% kepentingan MSM Perlis | DagangNews Skip to main content

FGV Integrated Farming beli 100% kepentingan MSM Perlis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF) bakal mengambil alih 100% kepentingan anak syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) iaitu MSM Perlis Sdn. Bhd. (MSM Perlis) dengan nilai pelupusan RM175 juta.

 

Ini selepas kedua-dua FGVIF dan MSM yang merupakan anak syarikat kepada FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini memeterai Perjanjian Jual dan Beli Saham (SSA) berhubung pelupusan dan pemerolehan kepentingan itu.

 

Menurut FGV dalam satu kenyataan, perjanjian tersebut adalah lanjutan kepada lembaran terma yang ditandatangani antara MSM dan FGVIF sebelum ini pada 30 April 2021. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pelupusan MSM Perlis adalah sebahagian daripada rangka kerja MSM dalam menjana pendapatan melalui aset bukan teras untuk memperkukuh dan meningkatkan prestasi kewangannya. 

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

“Pendapatan luar biasa akan dapat direalisasikan sebagai sebahagian daripada cadangan pelupusan dengan anggaran keuntungan sebanyak RM91.6 juta. 

 

“Ia juga untuk meningkatkan tahap operasi kami terutama dari segi kadar penggunaan (UF) dan peningkatan hasil di MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. (MSM Johor).

 

“Selain pelupusan, kerja-kerja penambahbaikan dipercepatkan yang dirancang di MSM Johor juga akan menyokong sasaran MSM untuk mencapai kadar UF minimum sebanyak 50% pada suku ketiga tahun ini,” jelas Syed Feizal menerusi kenyataan sama.

 

Susulan itu, MSM akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk mendapatkan persetujuan daripada pemegang sahamnya yang dijadualkan pada suku ketiga tahun 2021 (3Q21). 

 

Transaksi disasarkan selesai sebelum akhir tahun ini, tambah kenyataan itu.

 

Jelas FGV lagi, pelupusan tersebut dilakukan berikutan penghentian operasi bukan strategik di MSM Perlis sebagai sebahagian daripada strategi rasionalisasi MSM untuk menyelaraskan keuntungan dan mengembangkan kemampuan operasi.

 

MSM Perlis memegang 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian yang telah diperuntukkan untuk pembangunan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis oleh FGVIF, sektor baharu di bawah kumpulan tersebut. 

 

Pembangunan itu terdiri daripada aktiviti perladangan tanaman kontan bersepadu bernilai tinggi seperti nanas MD2 dan mangga harumanis serta penternakan tenusu.

 

Baru-baru ini, MSM Johor telah menyelesaikan kerja penambahbaikan dandang (boiler) serta menyambung pengeluaran dan pembungkusan gulanya. 

 

Penutupan sementara itu adalah untuk membolehkan kerja penambahbaikan yang dirancang dan menyasarkan peningkatan lebih tinggi kebergantungan operasi dan ketersediaan stok.

 

Pegawai Bertanggungjawab (Officer-In-Charge) dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, pihaknya bersemangat menantikan pengembangan projek FCAV untuk merealisasikan inisiatif strategik FGVIF. 

 

Azman Ahmad
Azman Ahmad

 

Ini sejajar dengan saranan kerajaan untuk memperkuat sektor ekonomi domestik dan memberikan peluang pekerjaan dalam mengurangkan impak pandemik, kata beliau.

 

“FGVIF telah memulakan kerja-kerja pembangunan tanah untuk ladang nanas MD2 seluas 1,200 hektar di mana kami menyasarkan untuk selesai pada tahun 2025,” tambah Azman.

 

Sehingga kini, lebih daripada 50 petugas dan pekerja di lapangan telah diambil bekerja untuk projek berkenaan. 

 

Di samping itu, seluas 60 hektar telah diperuntukkan untuk program usahawan agro di bawah skim pertanian kontrak bagi projek Nanas MD2 dengan pengambilan usahawan agro pertama dijangka berlangsung pada bulan Julai 2021.

 

Sejak pemberhentian penanaman tebu pada tahun 2011, MSM Perlis terus mengurus tanah pertanian tersebut dengan tanaman getah, kelapa sawit dan mangga. 

 

Walau bagaimanapun, oleh kerana prestasi yang tidak mampan berkaitan dengan kos operasi yang tinggi untuk mengekalkan aktiviti perladangan, MSM Perlis telah menghentikan sektor perladangannya pada 30 Jun 2019.

 

Sementara itu, operasi penapisan gula telah dihentikan setahun kemudian berikutan rasionalisasi kapasiti MSM untuk menyatukan pengeluaran di kilang baharu, MSM Johor. 

 

Tambahan pula, lokasi MSM Perlis dari pelabuhan yang tidak menguntungkan, keupayaannya yang kecil dan kos fasiliti yang tinggi telah menyebabkan operasinya tidak mendatangkan nilai ekonomi. - DagangNews.com