FGV jadi syarikat perladangan pertama guna e-wallet | DagangNews Skip to main content

FGV jadi syarikat perladangan pertama guna e-wallet

FGV e-wallet

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Sept. - FGV Holding Berhad (FGV) menjadi syarikat perladangan yang pertama mempelopori penggunaan sistem e-dompet (e-wallet) bagi tujuan pembayaran gaji pekerja ladangnya di bawah program Perekrutan, Pengekalan dan Penghantaran Pulang (3R).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pihaknya menyasarkan penggunaan sistem tersebut menjelang suku pertama 2021 di seluruh sektor perladangannya termasuk Sabah dan Sarawak.

"Pada era digital hari ini, kami terus melakukan pendekatan terbaik dalam menyempurnakan operasi kami menerusi teknologi baharu.

"Sebagai tulang belakang operasi kami, usaha untuk meningkatkan faedah pekerja diteruskan sejajar dengan peraturan antarabangsa bagi amalan buruh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sistem e-wallet di bawah program 3R berjaya dilancarkan sejak Februari 2020 di Gua Musang, Kelantan yang melibatkan seramai 1,500 pengguna berdaftar di 11 estet FGV.

Melalui sistem tersebut, FGV menganggarkan penjimatan sebanyak RM1 juta setiap tahun dalam kos pengendalian gaji.

Melalui aplikasi mudah alih Merchantrade Money di bawah Merchantrade Asia Sdn. Bhd., pekerja ladang diberikan kad Visa prabayar dan akaun e-wallet individu yang dapat diakses dengan mudah melalui telefon bimbit masing-masing.

Aplikasi tersebut membolehkan pekerja melakukan transaksi tanpa tunai seperti kiriman wang kepada ahli keluarga di negara asal, membeli prabayar mudah alih dan mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) dan peniaga berdaftar.

Pekerja juga boleh membeli barangan runcit di kedai tempatan terpilih yang dilantik melalui program tanpa tunai.

Tambah beliau, bantuan pendaftaran e-wallet kepada pekerja ladang turut disediakan dengan beberapa kelebihan fungsi seperti e-kehadiran, e-rungutan dan e-pembelajaran.

"Sebagai syarikat yang berpandangan jauh, kami percaya bahawa e-wallet adalah penyelesaian kewangan yang menyeluruh kepada pekerja kami untuk kemudahan dalam kehidupan seharian mereka.

"Kami juga berharap dapat menarik lebih ramai pekerja tempatan untuk bekerja dengan kami sejajar dengan matlamat untuk mengurangkan 10% daripada 32,000 jumlah pekerja asing yang bekerja dengan FGV," tambahnya. - DagangNews.com