FGV labur RM5 juta bangunkan 11 buah pusat pembelajaran di Sabah | DagangNews Skip to main content

FGV labur RM5 juta bangunkan 11 buah pusat pembelajaran di Sabah

Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV) membuat pelaburan berjumlah RM5 juta bagi mewujudkan 11 buah Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Sahabat dan Kinabatangan, Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pelaburan yang dibuat itu adalah inisiatif pihaknya dalam menghormati hak asasi manusia berkaitan kanak-kanak khususnya terhadap hak mereka untuk mendapatkan pelajaran.

“Pendidikan merupakan perkara yang amat penting dalam perkembangan kanak-kanak. Ia merupakan asas hak asasi manusia yang seharusnya dinikmati oleh setiap kanak-kanak. Sehubungan itu, FGV komited memastikan anak-anak pekerja yang menetap di ladang-ladang kami turut mendapat peluang pendidikan yang sama.

“Memandangkan sebahagian besar pekerja ladang kami di Sabah terdiri daripada warga Indonesia, FGV bekerjasama rapat dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia, Konsulat Republik Indonesia di Tawau serta Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Sabah untuk turut serta di dalam CLC ini.

"Menerusi kerjasama erat ini, CLC ini diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan negara Malaysia dan Indonesia," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC
Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC)

 

CLC berfungsi sebagai pusat pembelajaran alternatif bagi anak-anak yang tidak berdaftar dalam pendidikan formal di sekolah.

Projek yang bermula pada 2018 itu dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan pengoperasian empat buah CLC lagi di Kalabakan dan Yapidmas.

Semua CLC berkenaan dilengkapi dengan kelengkapan asas bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran seperti kemudahan bilik darjah, meja, kerusi serta papan hitam.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada guru-guru yang bertauliah sementara pekerja lain yang berminat akan diberikan latihan sebagai pembantu pengajar.

Alat bantuan mengajar, penyediaan sukatan pelajaran, buku-buku teks serta guru-guru yang bertauliah di Kementerian Pendidikan Indonesia turut disediakan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia menerusi pejabat konsulatnya di Tawau.

Konsul Republik Indonesia di Tawau, Bapak Sulistijo Djati Ismojo berkata, pihaknya amat menghargai langkah yang dijalankan oleh FGV selain mampu menguatkan lagi hubungan di antara pihak kerajaan dan swasta di kedua-dua buah negara.

“Usaha FGV ini menjadi contoh bagi pemain industri sawit yang lain sebagai sebahagian dari komitmen mereka terhadap hak asasi manusia," ujarnya.

Hingga kini, seramai 1,046 orang pelajar telah mendaftar di 11 buah CLC berkenaan. 

Daripada jumlah tersebut, 876 orang terdiri daripada pelajar sekolah rendah, sementara 170 orang lagi di peringkat menengah. - DagangNews.com