FGV perbaiki sistem pengambilan buruh asing - Mustapa | DagangNews Skip to main content

FGV perbaiki sistem pengambilan buruh asing - Mustapa

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - FGV Holdings Bhd. memberi komitmen yang tinggi dan mengambil langkah sewajarnya dalam usaha membatalkan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) sejak petisyen dikemukakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Amerika Syarikat (CBP).

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, syarikat itu juga kini sedang berkomunikasi dengan beberapa organisasi bebas untuk mencari pilihan dalam menjalankan audit bagi operasi FGV pada masa akan datang.

 

"Dalam masa sama, FGV juga telah mengambil tindakan untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia," katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk menangani tuduhan Amerika Syarikat (AS) terhadap FGV yang didakwa menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk sawit dan kesannya kepada pendapatan negara jika tidak ditangani dengan segera.

 

Pada 8 Oktober lalu, FGV telah berkomunikasi dengan CBP melalui panggilan persidangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan tersebut dan juga langkah-langkah yang harus diambil oleh FGV untuk pembatalan WRO.

 

Bagaimanapun, CBP tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditemui dan tidak mendedahkan sebarang maklumat lain mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut.

 

Namun, CBP memaklumkan kepada FGV bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama dengan maklumat atau laporan yang terhasil dari audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai dan tidak menyebelahi
mana-mana pihak. 

 

Mustapa berkata, FGV telah melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan kebajikan pekerja asing terjaga. 

 

Ini termasuklah  melabur hampir RM350 juta bagi menaiktaraf kemudahan perumahan dengan membina kediaman baharu di ladang-ladang di seluruh negara dalam tempoh 3 tahun ini. 

 

"FGV juga komited untuk menanggung kos yang berkaitan dengan pengambilan pekerja migran meliputi permit kerja, visa, pemeriksaan kesihatan serta insurans. 

 

"Dalam masa sama, FGV turut menyemak semula kontrak dengan agensi pengambilan pekerja bagi memastikan tiada sebarang bayaran dikenakan ke atas pekerja terbabit," jelas beliau. 

 

Di samping itu, katanya, FGV menubuhkan 4 Pusat Sehenti di Malaysia dan di negara sumber seperti di India dan Indonesia, bagi memperkukuhkan program orientasi sebelum pelepasan dan ketibaan pekerja migran. 

 

Malah, pekerja migran juga mendapat manfaat kesihatan yang disediakan termasuk menanggung perbelanjaan tahunan bagi rawatan pesakit luar selain peruntukan tanpa had untuk rawatan di hospital.

 

"FGV juga merupakan syarikat perladangan pertama di Malaysia yang melaksanakan pembayaran gaji tanpa tunai secara dompet elektronik bagi pekerja-pekerja ladang menggunakan aplikasi mudah alih Merchantrade Money di bawah Merchantrade Asia Sdn. Bhd.

 

"Pelaksanaan sistem ini akan diperluaskan ke seluruh sektor perladangannya termasuk Sabah dan Sarawak menjelang suku pertama 2021," katanya. - DagangNews.com