FGV perkenal pasar e-dagang, GOGOPASAR | DagangNews Skip to main content

FGV perkenal pasar e-dagang, GOGOPASAR

Gogopreneur berpeluang memperoleh pendapatan purata bulanan sebanyak RM4,500 dalam waktu yang mencabar ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. – FGV Holdings Bhd. mengorak langkah dalam mempersiapkan rantaian bekalan perniagaan hujung ke hujung dengan memperkenalkan pasar runcit e-dagang, GOGOPASAR.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, ia sebahagian daripada rancangan jangka panjang kumpulan untuk menjadi salah satu perniagaan agri bersepadu dan lestari terkemuka di dunia yang memberi fokus pada produk pengguna.

 

“Tahun ini kita dapat lihat perubahan yang luar biasa dalam dinamik rantaian bekalan dan corak perbelanjaan pengguna disebabkan pandemik COVID-19. 

 

"Kerjasama kami dengan GOGOPASAR akan mendigitalkan laluan FGV ke pasaran sejajar dengan Pelan Tindakan E-Dagang Kebangsaan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan sedia ada dan memperluas akses pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

GOGOPASAR adalah anak syarikat FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd., sektor yang baharu diwujudkan dengan komponen perniagaan merangkumi hasil segar, tanaman kontan, padi dan beras, makanan haiwan, haiwan ternakan dan penternakan tenusu.

 

Kerjasama baharu ini membolehkan FGV menawarkan manfaat kepada pengguna, suri rumah dan individu yang sibuk untuk menerima produk segar terus ke depan pintu mereka, dengan hanya satu klik butang pada aplikasi GOGOPASAR.

 

Selain itu, ia juga menawarkan penyelesaian e-dagang sehenti kepada usahawan rumah untuk memudahkan mereka menjana pendapatan tambahan dan membantu petani tempatan menjual hasil segar. 

 

Secara dasarnya, GOGOPASAR menyatukan 3 elemen teras iaitu teknologi, rangkaian dan perdagangan sosial, menghubungkan kedua-dua pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C) tanpa jumlah pesanan minimum. 

 

Pada masa ini, GOGOPASAR adalah satu-satunya peruncit maya hujung ke hujung di negara ini yang mempunyai sistem tersedia yang mengintegrasikan pembekal, gudang dan logistik, dengan menyediakan platform perniagaan runcit maya terus kepada pengguna dengan pilihan untuk penghantaran pada hari yang sama, harga terbaik dan jaminan kualiti.

 

Bagi membantu mengatasi kadar pengangguran negara yang tinggi baru-baru ini dan untuk memberi peluang perniagaan terutama kepada kumpulan B40, GOGOPASAR memperkenalkan program Ejen Rumah yang dikenali sebagai Gogopreneur.

 

Dengan skim pembahagian keuntungan, para Gogopreneur berpeluang memperoleh pendapatan purata bulanan sebanyak RM4,500 dalam waktu yang mencabar ini.

 

Bagi tahun ini, minimum 100 Gogopreneur akan dilantik untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan kejiranan mereka, di mana hampir 80% daripada Gogopreneur yang direkrut sudah menerima pesanan daripada pelanggan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GOGOPASAR, Haslinda Alias berkata, urus niaga telah meningkat dengan ketara sejak April daripada 10 transaksi sehari kepada 600 transaksi. 

 

Katanya, ketika ini, perkhidmatan GOGOPASAR meliputi kawasan Lembah Klang, dengan rancangan untuk mengembangkan perniagaan di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

 

“GOGOPASAR mempunyai akses kepada pilihan terbaik barang-barang bekalan import dan barang-barang segar langsung dari pembekal tempatan seperti sayur-sayuran, makanan laut, daging dan ayam melalui rangkaian pembekal kami yang luas, juga termasuk petani kontrak FGV. 

 

"Ini untuk memastikan hanya produk segar yang dihantar kepada pengguna. Kami menyasarkan untuk meningkatkan 300 unit simpanan stok dan 50 pedagang menyertai kami menjelang akhir 2020,” katanya.

 

Laman web GOGOPASAR www.gogopasar.com kini boleh dilayari untuk pengguna membeli barangan runcit secara dalam talian. 

 

Untuk menjadikan pengalaman membeli lebih pantas, aplikasi mudah alih GOGOPASAR untuk Android tersedia untuk dimuat turun dari Google Play Store. - DagangNews.com