FGV perkenal perkhidmatan pengangkutan rantaian sejuk untuk penuhi permintaan pasaran tempatan | DagangNews Skip to main content

FGV perkenal perkhidmatan pengangkutan rantaian sejuk untuk penuhi permintaan pasaran tempatan

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi cabang logistiknya, FGV Transport Services Sdn. Bhd. (FGV Transport) memperkenalkan perkhidmatan pengangkutan rantain sejuk bagi menyediakan penghantaran dan penyelesaian penyimpanan sejuk bagi barangan yang mudah rosak.

 

Perniagaan dengan nilai pelaburan awal sebanyak RM8.3 juta itu menyasarkan untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat dalam pengurusan logistik secara berkesan.

 

Ia juga bagi memastikan suhu berada pada keadaan tepat untuk produk tenusu, farmaseutikal, daging, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan laut, makanan sejuk beku serta prodeuk domestik dan e-Dagang lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, segmen perniagaan itu adalah inisiatif baharu FGV dalam menambah aliran pendapatan baharu.

 

“Sehingga Oktober, FGV memiliki 10 lori sejuk beku berkapasiti 7.5 tan. 

 

"Kumpulan merancang untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 17 lori pelbagai saiz dan muatan menjelang 2023 dengan anggaran pelaburan sebanyak RM4 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd. Nazrul berkata, FGV Transport memanfaatkan peluang pasaran e-Dagang yang semakin meningkat dalam segmen ini dan menawarkan penyelesaian logistik sejuk untuk pemain industri, pengguna, pengilang dan petani di Malaysia. 

 

Anak syarikat itu turut menyasar pendapatan RM3.2 juta bagi perkhidmatan rantaian sejuk pada tahun 2024.

 

“Di FGV, kualiti yang menjadikan kami sebagai peneraju industri adalah keupayaan dalam penyediaan logistik menggunakan automasi canggih dan kemampuan digital. 

 

"Ini termasuk perkhidmatan Logistik Pihak Ketiga (3PL), hab dan model jaringan logistik, kurier dan destinasi akhir, serta lori pelbagai fungsi seperti lori tangki, lori kargo, van bertutup, lori tirai tepi serta lori sejuk beku pelbagai saiz.”

 

“Semua kenderaan rantaian sejuk FGV dilengkapi dengan navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS) dan Sistem Pengedaran Logistik Bersepadu (ILDS) yang dibangunkan oleh FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), sebuah lagi anak syarikat milik FGV.”

 

“Dengan pelaksanaan ILDS, semua pergerakan kenderaan dijejak pada masa sebenar bagi memudahkan pengesanan, serta memastikan produk pelanggan diterima dengan selamat mengikut masa yang sewajarnya,” katanya.

 

Platfom Sistem Pengurusan Gudang (WMS) juga disediakan bagi membolehkan syarikat memantau dan mengoptimumkan proses logistik. 

 

Selain itu, aplikasi pegang-pintar seperti Pengimbasan Kod Bar, Pengurusan Pesanan dan Pengurusan Inventori juga digunakan untuk penyelenggaraan jangkaan serta pemantauan suhu makanan segar.

 

Sebagai permulaan, FGV Transport menawarkan pengangkutan produk halal dan perkhidmatan lori sejuk beku di sekitar Lembah Klang. 

 

Perkhidmatan itu bakal diperluaskan ke Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang dengan sasaran 60 peratus perniagaan luar dalam tempoh enam bulan beroperasi.-DagangNews.com