FGV peruntuk RM3.1 juta beli 8 bas sekolah baharu | DagangNews Skip to main content

FGV peruntuk RM3.1 juta beli 8 bas sekolah baharu

Salah satu bas sekolah berkapasiti 44 penumpang yang disediakan oleh FGV untuk kemudahan anak-anak pekerja tempatan ke sekolah di FGVPM Sahabat 44, Sabah.
Salah satu bas sekolah berkapasiti 44 penumpang yang disediakan oleh FGV untuk kemudahan anak-anak pekerja tempatan ke sekolah di FGVPM Sahabat 44, Sabah.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi syarikat-syarikat perniagaan teras perladangannya, FGV Plantations Malaysia Sdn Bhd (FGVPM) dan FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI) memperuntukkan RM3.1 juta bagi pembelian lapan bas sekolah baharu untuk kegunaan anak pekerja tempatan.

 

Hingga kini, jumlah keseluruhan bas sekolah yang dimiliki FGV sebanyak 89 unit.

 

Pegawai Bertanggungjawab dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, kemudahan bas sekolah merupakan salah satu tanggungjawab sosial syarikat bagi memastikan keselamatan perjalanan anak-anak pekerja, di samping membantu meringankan kos sara hidup.

 

“FGV sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kebajikan pekerja. Sejak tahun 1992, penyediaan bas sekolah merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami dalam memperkasa serta menghormati hak-hak pekerja berkeluarga. FGV juga amat mengutamakan soal keselamatan dan ingin mengurangkan pendedahan anak-anak kepada pelbagai risiko perjalanan.

 

“Dengan penyediaan bas-bas sekolah yang baharu, risiko seperti kemalangan dan kejadian tidak diingini dapat dikurangkan kerana kenderaan berfungsi secara optimum, dan perjalanan lebih terkawal dengan jadual yang tetap. 

 

"Ini membolehkan pekerja kami memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan di pejabat atau di ladang, tanpa berasa bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan oleh FGVPM bagi pembelian lima bas baharu di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

 

Sementara itu, RM1.6 juta diperuntukkan untuk pembelian tiga bas baharu oleh FGVPI di Sarawak dan Sabah.

 

Anak-anak pekerja tempatan FGV menaiki bas ke sekolah di Ladang FGVPM Tembagau 5, Kemayan, Pahang
Anak-anak pekerja tempatan FGV menaiki bas ke sekolah di Ladang FGVPM Tembagau 5, Kemayan, Pahang.

 

Tambah beliau lagi, kos pengangkutan bulanan anak-anak pekerja ke sekolah adalah antara RM30 hingga RM60 seorang di kawasan luar bandar, bergantung kepada jarak sekolah dengan kediaman.

 

Bagi pekerja yang mempunyai bilangan anak yang ramai, penyediaan perkhidmatan bas sekolah itu turut mengurangkan bebanan kewangan mereka.

 

Bas-bas sekolah baharu FGV memiliki pelbagai kapasiti muatan penumpang, daripada 10 hingga 44 orang. 

 

Kesemua bas berkenaan menepati spesifikasi serta ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). - DagangNews.com