KUALA LUMPUR 11 Mac – FGV Holdings Bhd. menjangkakan jualan sejuta liter Weed Solut-ioN setahun pada masa hadapan, dengan anggaran pendapatan RM10 juta.
Produk merumput mesra alam dan menjimatkan kos untuk sektor pertanian diperkenalkan melalui anak syarikatnya, FGV Agri Services Sdn. Bhd. (FGVAS)
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, kumpulan komited untuk terus membangunkan inovasi dan teknologi yang mampan untuk digunakan dalam operasi perniagaannya sekali gus berupaya menyumbang kepada kemajuan industri.
Katanya, Weed Solut-ioN tidak mengandungi sebarang bahan kimia yang boleh membahayakan tanaman, dan ini selaras dengan komitmen FGV untuk mencipta lebih nilai kepada kumpulan dan pelanggannya melalui produk dan perkhidmatan yang mampan bagi menyokong prinsip Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).
“Weed Solut-ioN juga merupakan salah satu inisiatif FGV dalam menangani kenaikan harga racun herba dan dalam melaksanakan strategi penjimatan kos untuk merumput yang cekap di ladang kelapa sawit kami.
"Melalui produk ini, FGV menyasarkan untuk menjimatkan sehingga RM6 juta setiap tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dirumus dengan 70% bahan bukan toksik, Weed Solut-ioN adalah racun herba (herbisid) adjuvan yang boleh mengurangkan kadar penggunaan herbisid secara berkesan di samping meningkatkan kecekapan bahan tersebut, tanpa meninggalkan sebarang kesan sampingan kimia (phytotoxicity) pada tanaman.
Apabila digunakan pada racun herba dalam nisbah yang ditetapkan, produk tersebut mengurangkan kadar penggunaan racun herba sehingga 50% tanpa menjejaskan keberkesanan racun herba itu sendiri.
Penyelidikan membuktikan ia sesuai untuk hampir semua jenis racun herba dan mengurangkan kos merumput sehingga 20% seperti yang diuji di ladang kelapa sawit.
Weed Solut-ioN ialah produk yang diimport dan diuji oleh FGV R&D Sdn. Bhd. (FGV R&D) dengan kerjasama PT Pandawa Agri, sebuah syarikat sains yang berasal dan beroperasi di Indonesia.
Melalui perkongsian strategik ini, FGVAS telah diberi hak eksklusif untuk memasarkan produk Weed Solut-ioN di Malaysia.
FGVAS ialah peneraju industri dalam pengeluaran dan pembekalan bahan penanaman kelapa sawit berkualiti tinggi, racun tikus, biopestisid dan produk pertanian premium yang lain.
Ia merupakan pengeluar benih kelapa sawit terbesar di Malaysia dengan bahagian pasaran tahunan kira-kira 40%. - DagangNews.com