FGV tidak lantik mana-mana agensi untuk ambil pekerja ladang | DagangNews Skip to main content

FGV tidak lantik mana-mana agensi untuk ambil pekerja ladang

KUALA LUMPUR 11 Mac - FGV Holdings Bhd. tidak melantik mana-mana agensi pekerjaan atau syarikat di India atau di mana-mana negara untuk mengambil pekerja ladang. 

 

Kenyataan itu dikeluarkan hari ini bagi menjelaskan mengenai penyebaran iklan dan surat mengenai pengambilan pekerja oleh syarikat perladangan itu.

 

"Malah, FGV juga tidak pernah menggunakan perkhidmatan Searising Overseas Training and Manpower Solution Pvt. Ltd. Ltd. atau memberi kuasa kepada syarikat tersebut untuk mengambil pekerja untuk FGV.

 

"Kami menggesa pihak berkepentingan kami dan mana-mana pihak lain supaya berhati-hati apabila menerima maklumat dan iklan mengenai proses pengambilan FGV daripada sumber pihak ketiga," jelasnya.

 

Pada Disember lalu, FGV berkata, sudah menyediakan perlindungan tambahan dan langkah-langkah usaha wajar termasuk mekanisme penilaian pra-penyumberan, untuk menyelaraskan prosedur merekrut pekerja dengan amalan terbaik melalui pengambilan yang bertanggungjawab dan beretika.

 

Ini terkait dengan jangkaan keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan Malaysia kepada pengambilan pendatang baharu sebagai buruh, kata FGV, yang mengupah kira-kira 20,000 imigran.

 

Syarikat itu turut mengulangi komitmennya terhadap hak asasi manusia dan menyertai seruan bagi mengiktiraf pekerja asing selayaknya serta yang lebih penting, untuk menggalakkan pematuhan yang lebih besar terhadap hak mereka.

 

Bagi memelihara kebajikan pekerja buruhnya, FGV telah mendedikasikan banyak usaha dan sumber dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan mempromosikan dan melindungi hak pekerja termasuk buruh asing.

 

Ia telah melabur RM350 juta bagi membina 319 blok perumahan pekerja baharu sejak 3 tahun lalu dan memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM43 juta pada 2021 untuk meningkatkan lagi kemudahan pekerjanya. - DagangNews.com