Firma audit dan 2 rakan kongsi didenda, dilarang mengaudit selama setahun | DagangNews Skip to main content

Firma audit dan 2 rakan kongsi didenda, dilarang mengaudit selama setahun


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com



KUALA LUMPUR 19 Okt. - Firma audit, RSL PLT (RSL) dan dua rakan kongsi auditnya dilarang menerima mana-mana entiti kepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual sebagai pelanggan dan mengaudit penyata kewangan mereka selama 12 bulan bermula 1 November 2020.

Perkara itu diumumkan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

SC berkata, dua rakan kongsi audit firma yang terlibat ialah Lim Lip Chin dan Lim Sang Chee.

“Sebagai tambahan kepada larangan tersebut, AOB juga mengenakan denda sebanyak RM175,000 ke atas RSL dan RM44,000 ke atas Lip Chin.

“Firma audit dan rakan kongsi auditnya didenda AOB kerana tidak mematuhi piawaian audit mengenai prosedur asas dan dasar audit ketika menjalankan kerja pengauditan syarikat awam tersenarai,” jelas SC dalam satu kenyataan. 

Penemuan itu mempengaruhi keseluruhan penyata kewangan utama seperti pelaburan dalam syarikat bersekutu, kos pembangunan hartanah, perdagangan dan penghutang lain, pendapatan dan kos dari kontrak pembinaan dan penggabungan kumpulan. 

RSL dan rakan kongsi auditnya kemudian mengemukakan rayuan kepada SC terhadap keputusan AOB. 

“Selepas perbincangan, SC telah menolak rayuan tersebut dan mengesahkan keputusan AOB,” tambah SC. - DagangNews.com