Firma minyak Kuwait KUFPEC berminat melabur lebih banyak dalam sektor petroleum Sarawak | DagangNews Skip to main content

Firma minyak Kuwait KUFPEC berminat melabur lebih banyak dalam sektor petroleum Sarawak

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) bersedia meneruskan, mendorong dan melabur lebih banyak lagi dalam sektor petroleum Sarawak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KUFPEC, Mohammad Salem Al-Haimer berkata, pihaknya berminat untuk bekerjasama dengan Sarawak, khususnya syarikat minyak negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

 

Beliau berkata, KUFPEC telah menerima mesej positif daripada Perdana Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg, dan Petros berhubung peluang kerjasama untuk kedua-dua pihak.

 

Dengan kekal komited untuk bekerjasama dengan Sarawak pada masa hadapan, KUFPEC berkata syarikat itu telah menjadi sebahagian daripada projek Lang Lebah, yang merupakan salah satu penemuan gas terbesar di luar pantai Malaysia di Central Luconia.

 

“Dan saya rasa ada ruang besar untuk kerjasama dan lebih banyak peluang untuk Sarawak dan KUFPEC.

 

"Kami bersedia untuk meneruskan dan mendorong dan melabur lebih banyak lagi,” kata Mohammad Salem, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

 

 

Mohammad Salem Al-Haimer
                                Mohammad Salem Al-Haimer

 

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat kunjungan hormat Perdana Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada 24 Mei 2024.

 

Tambah Mohamed Salem, kerjasama ini merupakan peluang baik yang boleh membawa masa depan cerah untuk Sarawak dan KUFPEC. - DagangNews.com