Fitch Ratings: Serba Dinamik antara 50 penerbit hasil tertinggi Asia | DagangNews Skip to main content

Fitch Ratings: Serba Dinamik antara 50 penerbit hasil tertinggi Asia

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Syarikat kejuruteraan, Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) tersenarai dalam 50 penerbit hasil tertinggi bagi syarikat korporat di Asia, berdasarkan penilaian Fitch Ratings. 

Penilaian itu dibuat berdasarkan kedudukan pasaran yang kukuh oleh Serba Dinamik di Malaysia di mana mempunyai hasil keempat terbesar bagi syarikat kelengkapan dan perkhidmatan minyak dan gas pada tahun 2017.

Ini disokong oleh profil kewangan yang kukuh, hasil jangka pendek dan sederhana serta kitaran pendapatan rendah.

Penilaian yang dikeluarkan menerusi laporan ‘Asia Corporate HY50’ itu percaya bahawa kedudukan Serba Dinamik mempunyai kelebihan daripada penggabungan vendor dan kenaikan modal dalam segmen hiliran oleh syarikat minyak nasional Malaysia Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

“Buku tempahan syarikat itu meningkat lebih daripada lapan kali ganda dalam tempoh lima tahun hingga 2018 dan mencecah kira-kira RM10 bilion pada suku ketiga 2019 (3Q19).

“Buku tempahan/nisbah hasil syarikat kira-kira 2.5x pada penghujung September 2019 dan Fitch menjangkakan mencapai 1.5x hingga 2x dalam jangka masa sederhana sekali gus memberikan penglihatan hasil,” kata Fitch menerusi laporan berkenaan yang diterbitkan semalam. 

Dalam pada itu, pasaran hasil tinggi Asia juga dilihat terus berkembang berbanding sedekad lalu. 

Penerbit hasil tinggi seperti yang ditentukan oleh penilaian komposit JP Morgan dalam Indeks Kredit JP Morgan Asia (JACI) telah menyumbang 17% daripada indeks itu dan 23% jika termasuk nama yang tidak dinilai.

Mengulas mengenai penilaian terhadap Serba Dinamik, Fitch percaya ia terbatas oleh skala operasi kecil, produk terhad dan kepelbagaian pasaran akhir berbanding dengan syarikat lain yang dinilai Fitch.

Namun, kata Fitch, sebahagiannya dikurangkan oleh fokus syarikat terhadap pelanggan pertengahan (mid-tier) yang menyokong kekuatan tawar-menawar dan menterjemahkannya ke dalam margin keuntungan industri.

Bagi risiko penggantian pula, Fitch melihat kontrak operasi dan penyelenggaran Serba Dinamik yang menyumbang kepada majoriti hasil syarikat kebanyakannya bukan eksklusif.

Sehubungan itu, ia memberi risiko kepada syarikat berkenaan yang mungkin digantikan oleh pesaing lain terutamanya melibatkan syarikat dari luar Malaysia.

Tetapi, Fitch percaya risiko itu dikurangkan oleh lesen operasi Serba Dinamik di mana melibatkan bidang kuasa berbeza, hubungan pelanggan yang lama serta prestasi dan reputasi syarikat dalam industri tersebut. 

“Kami percaya risiko penggantian tidak ada memandangkan syarikat itu mempelbagaikan pasaran dan pelanggan,” tambah Fitch. - DagangNews.com