Fitch rendahkan penarafan kewangan Malaysia tidak jejas pasaran ekuiti | DagangNews Skip to main content

Fitch rendahkan penarafan kewangan Malaysia tidak jejas pasaran ekuiti

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - MIDF Research terkejut apabila agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings merendahkan ‘harta’ Malaysia dalam Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang kepada 'BBB+' daripada 'A-'.

 

Bagi MIDF, semakan turun penilaian itu bagaimanapun tidak menjejaskan peningkatan pasaran kewangan negara yang dijangka kekal utuh. 

 

“Kami berpandangan semua pelabur akan bimbang impak penurunan penarafan itu terhadap pasaran ekuiti. 

 

“Berdasarkan pemerhatian kami terhadap semakan turun penilaian sebelum ini, kami tidak menemui kaitan kukuh antara penurunan penarafan dengan pergerakan pasaran ekuiti. Ini juga diguna pakai ke atas semakan naik penilaian. 

 

“Kami menjangkakan mungkin terdapat reaksi negatif terhadap perkara tersebut, tetapi keseluruhan pergerakan pasaran kekal utuh,” kata MIDF dalam nota kajiannya.

 

Pada Jumaat lalu, bukan Malaysia sahaja yang disemak turun kewangan negara oleh Fitch. 

 

Bagaimanapun, Malaysia tetap diberikan penilaian ‘prospek stabil’ walaupun disemak turun. 

 

Penilaian itu dibuat berdasarkan kedalaman dan tempoh pandemik COVID-19 yang telah melemahkan beberapa metrik kredit utama negara.

 

Menurut MIDF, ini mungkin melibatkan impak besar COVID-19 ke atas ekonomi Malaysia memandangkan aktiviti ekonomi dikurangkan, menambah beban ke atas fiskal negara yang sememangnya tinggi berbanding negara-negara lain sebelum pandemik itu. 

 

Fitch turut mengambil kira ketidaktentuan politik yang masih berlegar selepas pertukaran kerajaan pada Mac lalu yang mempengaruhi prospek dasar dan penambahbaikan standard pentadbiran.

 

Dalam masa sama, agensi penarafan itu turut menjangkakan hutang kerajaan meningkat.

 

Sementara itu, AmBank Research berkata, kali terakhir Malaysia menerima penarafan BBB+ adalah pada April 2004. 

 

“Semakan turun itu menekankan keperluan untuk lebih memperkukuh pembaharuan, ketelusan dan keterangkuman. 

 

“Penurunan penarafan itu akan meningkatkan kos peminjaman negara. Bagaimanapun, belum pasti sama ada S&P dan Moody akan membuat penilaian sama,” kata Ambank Research. 

 

Fitch turut menekankan ketidaktentuan kemasukan negara ke dalam indeks bon utama dunia di mana penyingkiran Malaysia daripada senarai itu akan mencetuskan aliran keluar modal. 

 

Pada September lalu, Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE mengekalkan Malaysia di dalam senarai pemerhatian dengan risiko penyingkiran masih ada dan penilaian semula senarai itu adalah pada Mac 2021.  -  DagangNews.com