Fitch Solutions : Harga minyak sawit mentah akan menurun sehingga RM4,000 satu tan metrik tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions : Harga minyak sawit mentah akan menurun sehingga RM4,000 satu tan metrik tahun hadapan

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Trend penurunan semasa harga minyak sawit mentah akan berterusan dalam tempoh empat tahun akan datang kepada paras terendah RM2,600 satu tan metrik pada 2026, demikian menurut Fitch Solutions Country Risk and Industry Research.

 

Agensi itu turut menjangkakan harga minyak makan akan menurun 23.1% tahun ke tahun kepada RM4,000 satu tan metrik pada tahun hadapan.

 

Ia disebabkan kesan sekali sahaja pada separuh pertama 2022, konflik Rusia-Ukraine dan sekatan eksport minyak sawit Indonesia, semakin berkurangan.

 

Malah, penilaiannya juga mendapati, harga minyak sawit mentah akan terus menurun kepada purata RM3,033 satu tan metrik antara 2024 dan 2026 memandangkan lebihan tahunan yang konsisten ditetapkan untuk menimbang harga.

 

"Harga purata tahunan minyak sawit mentah diunjur mencapai RM3,500 satu tan metrik pada 2024 dan semakin menurun kepada RM3,000 pada 2025 diikuti RM2,600 pada 2026," katanya seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Fitch Solutions menyatakan jangkaan tersebut berdasarkan ramalan pengeluaran dan penggunaan minyak sawitnya, yang menjangkakan pasaran minyak sawit global akan menjana lebihan pengeluaran tahunan dari 2022 hingga 2026, meningkat daripada 2.5 juta tan metrik pada 2022 dan 2023, kepada 3.9 juta tan metrik pada 2026.

 

Bagaimanapun, ia masih di bawah lebihan rekod tertinggi sebanyak 4.5 juta tan metrik yang dijana pada 2017 dan 2018.

 

 

gambar hiasan

 

 

Badan penyelidikan itu mendapati harga minyak sawit mentah mencecah RM7,074 satu tan metrik pada 3 Mac lalu, susulan pencerobohon Rusia di Ukraine pada Februari lalu dan terus meningkat kepada RM7,104 pada 29 April, sehari selepas kerajaan Indonesia menguatkuasakan larangan terhadap eksport minyak sawit.

 

"Kami tidak melihat harga kembali meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah seperti pada separuh pertama 2022, kerana kami tidak menjangkakan Indonesia akan memperkenalkan semula larangan minyak sawit jangka pendeknya pada suku kedua.

 

"Malah, kami turut menekankan kelonggaran agregat pasaran minyak sayuran secara lebih umum sebagai petunjuk tekanan harga menaik yang kurang akut pada baki suku ketiga dan semasa suku keempat," tambahnya.

 

Fitch Solutions menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 3.9% dalam tempoh lima tahun, mendahului antara pengeluar terbesar oleh Nigeria (CAGR sebanyak 5%), Colombia (4.8%) dan Indonesia (4.3%).

 

Bagi permintaan, ia melihat CAGR penggunaan sebanyak 3.6% diterajui China (CAGR 9.6%), di mana ia meramalkan penggunaan minyak sawit per kapita akan meningkat daripada 3.49 kilogram (pada 2021 dan 2022) kepada 4.98 kilogram (pada 2025 dan 2026).

 

“Secara keseluruhan, kami melihat pengeluaran dan penggunaan minyak sawit global meningkat daripada 76.6 juta kepada 89.3 juta tan metrik (naik 12.7 juta tan metrik) dan daripada 74.1 juta kepada 85.4 juta tan metrik (naik 11.3 juta tan metrik) menjelang unjuran akhir kami,” katanya.

 

Mengenai risiko kepada ramalannya, ia berkata, terdapat risiko penurunan jangka pendek untuk harga minyak sawit terus berkurangan memandangkan kerajaan Indonesia boleh mengukuhkan usahanya untuk mempercepatkan jualan eksport, yang seterusnya akan menyebabkan kemelesetan harga dalam pasaran.

 

Jelasnya, ia boleh menjadi tindakan yang mungkin diambil oleh kerajaan Indonesia memandangkan inventori minyak sawit terkumpul besar negara masih belum mula menurun, yang menunjukkan permintaan minyak sawit mungkin lebih lemah daripada yang dijangkakan bagi baki tahun ini.

 

Ini mendorongnya menambat harga purata minyak sawit mentah dalam tempoh empat bulan akan datang kepada RM4,750 satu tan metrik bagi sepanjang 2022.

 

"Ia adalah sejajar dengan ramalan harga minyak sawit purata tahunan yang tidak berubah sebanyak RM5,200 satu tan bagi tahun ini," katanya. - DagangNews.com