Fitch Solutions: Inflasi Malaysia dijangka jadi sederhana kepada 3.7% menjelang akhir 2022 | DagangNews Skip to main content

Fitch Solutions: Inflasi Malaysia dijangka jadi sederhana kepada 3.7% menjelang akhir 2022

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Nov - Inflasi utama Malaysia dijangka menjadi sederhana dalam beberapa bulan akan datang kepada 3.7% menjelang akhir 2022 (daripada 4.0% sebelumnya) kepada purata 3.4% bagi keseluruhan 2022 (daripada 3.5% sebelumnya) sebelum berpurata kira-kira 3.1% pada 2023.

 

Fitch Solutions Country Risk & Industry Research yang bebas daripada firma penarafan kredit Fitch Ratings berkata, angka inflasi utama negara berkurangan sedikit kepada 4.5% tahun ke tahun (yoy) pada September daripada paras tertinggi 16 bulan pada 4.7% pada Ogos, memuncak sedikit lebih awal daripada yang dijangkakan sebelum ini.

 

“Walaupun terdapat sedikit semakan pada ramalan inflasi kami, perkara utama ialah tekanan harga berkemungkinan kekal lebih tinggi daripada purata sejarah 1.5% (2016-2021) manakala kadar faedah sebenar kekal negatif,” kata firma penyelidikan itu dalam nota terbaharunya hari ini.

 

“Ini menunjukkan kepada kita bahawa terdapat lebih banyak ruang untuk BNM untuk menaikkan kadar faedah kembali ke paras sebelum COVID sekitar 3.00%-3.25% untuk menjaga kestabilan makroekonomi.”

 

Firma itu menambah: “Walaupun ada kawalan harga dan subsidi bahan api, tekanan harga di Malaysia telah meningkat berikutan pemulihan dalam permintaan dalam negeri dan harga makanan yang tinggi, dan kami menjangkakan dinamik ini akan berterusan hingga 2023.”

 

 

 


 

Fitch Solutions Country Risk & Industry Research

 

 

Setelah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) seperti yang dijangkakan sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75% pada 3 November lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan akan meneruskan kenaikan selanjutnya menjelang 2023 dengan kadar faedah memuncak pada 3.25%.

 

Ini berlaku susulan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak 75bps sehari sebelumnya.

 

Kenaikan 25bps oleh BNM adalah kenaikan keempat berturut-turut magnitud itu sejak bank pusat memulakan kitaran kenaikan kadar pada Mei, menjadikan kenaikan kadar terkumpul kepada 100bps.

 

“Melangkah ke 2023, kami mengekalkan pandangan kami bahawa BNM akan menaikkan kadar faedah tambahan sebanyak 50 mata asas kepada puncak 3.25% pada 2023,” unjur firma itu lagi.

 

“Walau bagaimanapun, risiko ditekankan dengan kukuh untuk menaik kerana bank pusat utama di seluruh dunia, khususnya AS, kekal agak hawkish yang boleh mendorong BNM untuk menaikkan kadar faedah dengan lebih agresif untuk menjaga kestabilan ringgit.” – DagangNews.com