‘Fitnah’ organisasi antarabangsa burukkan reputasi minyak sawit - Kenanga | DagangNews Skip to main content

‘Fitnah’ organisasi antarabangsa burukkan reputasi minyak sawit - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Mei -  Tanggapan salah yang digambarkan oleh organisasi antarabangsa ke atas minyak kelapa sawit berbanding minyak masak lain telah memburukkan reputasi industri itu, tegas dua penganalisis di Kenanga Research, Marie Vaz dan Adrian Kok. 

 

Sebaliknya, jenama yang menekankan ‘sifar’ minyak sawit dalam produk mereka dan berusaha untuk menggantikan sumber itu dengan minyak lain, sama ada telah memperdayakan sebagai mesra alam sekitar atau memberi maklumat salah, ujar mereka. 

 

“Bercanggah dengan stigma, minyak sawit merupakan tanaman yang paling berkesan dari segi kadar hasil minyak sehinggalah kepada kegunaan tanah. Untuk menghasilkan satu tan minyak, (tanaman) kelapa sawit hanya memerlukan 0.26 hektar, sementara pesaing terbesarnya iaitu soya menggunakan tanah 7.7 kali ganda, iaitu 2.0 hektar.

 

“Menurut Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN), minyak sawit menyumbang 35% pengeluaran minyak sayuran global yang hanya menggunakan 10% tanah global, lebih rendah berbanding pesaingnya. 

 

“Sementara itu, minyak kacang soya dianggarkan merangkumi 26% daripada pengeluaran minyak sayuran global dan pada 40% penggunaan tanah global, berdasarkan data dikumpul oleh Our World in Data daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017,” jelas Vaz dan Kok dalam satu laporan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) sektor perladangan hari ini.

 

Memandangkan minyak lain mempunyai hasil tanaman yang lebih rendah berbanding minyak sawit, bagi kedua-dua penganalisis itu, langkah untuk menggantikan sumber itu bukan satu jalan penyelesaian.

 

Sebaliknya, memastikan minyak sawit dihasilkan secara lestari merupakan jalan terbaik untuk industri dan alam sekitar, saran Vaz dan Kok.

 

Ini susulan, minyak sawit merupakan pilihan terbaik untuk memenuhi keperluan populasi global yang kian berkembang, di mana dijangkakan meningkat melebihi 9 bilion pengguna menjelang 2050 daripada 7.9 bilion ketika ini.

 

Malah, salah satu cara untuk mengurangkan impak ke atas persekitaran, minyak sawit merupakan pilihan paling berkesan untuk memenuhi permintaan global bagi minyak sayuran yang boleh dimakan.

 

“Permintaan bagi minyak sawit yang diiktiraf semakin meningkat di peringkat global, di mana merupakan satu langkah ke landasan tepat, tetapi ini mendatangkan kos yang lebih tinggi buat pengeluar minyak sawit. 

 

“Buat masa ini, permintaan bagi minyak sawit mampan kebanyakannya diungguli oleh Eropah dan Amerika dengan korporat gergasi seperti Nestle dan Unilever berhasrat untuk menggunakan sumber minyak sawit yang 100% bertanggungjawab pada 2020. 

 

“Namun, negara eksport utama Malaysia seperti China dan India mencatatkan permintaan yang kurang terhadap minyak sawit mampan kerana memilih alternatif lebih murah. Dianggarkan hanya 2% dan 3% masing-masing daripada import China dan India diiktiraf Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) berbanding kadar di Kesatuan Eropah (EU) iaitu 80% hingga 90%,” tambah mereka.

 

Di peringkat global pula, dianggarkan minyak sawit yang diiktiraf hanya merangkumi 19% daripada pengeluaran global, di mana 42% dari Malaysia dan 51% lagi dari Indonesia. 

 

Vaz dan Kok menegaskan, usaha untuk melonjakkan permintaan minyak sawit mampan amat diperlukan, tetapi pemain industri utama juga telah mengambil tanggungjawab mereka untuk menumpukan bekalan minyak sawit lestari berbanding keperluan permintaan. - DagangNews.com