KUALA LUMPUR 28 Sept. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) melanjutkan langkah-langkah bantuan sementara yang berkaitan dengan pembiayaan margin sehingga 31 Disember 2020. Langkah-langkah bantuan, yang berkuatkuasa pada 27 Mac 2020, akan berakhir pada 30 September 2020.
Fleksibiliti yang diberikan di bawah langkah-langkah bantuan akan membolehkan broker menguruskan kemudahan pembiayaan margin pelanggan mereka dengan lebih baik di samping ketidaktentuan pasaran yang berterusan akibat pandemik COVID-19 dan mengekalkan kestabilan dalam pasaran.
Dalam tempoh masa sementara ini, broker boleh terus menggunakan budi bicara sama ada mahu atau tidak untuk meneruskan langkah jualan secara paksa kepada pelanggan, dan menerima jenis jaminan lain daripada pelabur seperti bon, amanah saham, emas dan harta tidak alih untuk tujuan pembiayaan margin.
Sebelum ini, broker diminta untuk membubarkan akaun margin pelanggan mereka secara automatik sekiranya ekuiti dalam akaun tersebut susut di bawah 130% daripada baki tertunggak.
Langkah sementara ini bergantung kepada broker yang memenuhi nisbah kecukupan modal dan dana pemegang saham seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia.
"Mereka juga diharapkan menggunakan budi bicara yang sewajarnya dengan polisi risiko kredit mereka sendiri," kata SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan pasaran sekuriti dan menilai kecukupan langkah-langkah yang ada untuk menyokong pasaran yang teratur dan mengurangkan potensi risiko.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai langkah dalam membantu peserta pasaran modal mengurangkan potensi risiko yang timbul daripada COVID-19, sila layari www.sc.com.my/covid-19. - DagangNews.com